Tuesday, June 5, 2012

Hebatnya Solat Di Awal Waktu


serenemaklong.blogspot.com



SETIAP peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam ini memang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

WAKTU SUBUH

Waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda, bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisme tubuh. Oleh itu waktu subuh berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuh ataupun terlewat secara berulang-ulang, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Tenaga alam biru muda itu tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa). Dalam erti kata lain, terjaga daripada tidur.

Bermula saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonans pada waktu rukuk dan sujud.

Mereka yang terlewat Subuh sebenarnya tidak mendapat tenaga yang optimum lagi.

WAKTU ZOHOR

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.
Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.

Warna kuning ada kaitan dengan keceriaan. Mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhur berulang-ulang dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang sakit perut mana boleh ceria, kan?

WAKTU ASAR

Kemudian warna alam berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Warna oren adalah warna kreativiti.

Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativiti dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ini jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur).

WAKTU MAGRIB

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah yang mempengaruhi frekuensi otot, saraf dan tulang.

Pada waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang tua-tua supaya  tidak berada di luar rumah. Spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (inframerah). Jin dan iblis amat bertenaga pada waktu ini.

Bagi yang sedang dalam perjalanan, seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini dan melakukan solat Maghrib. Banyak gangguan  berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan pandangan mata.

Tahun lalu saya kehilangan dua orang bekas rakan kerja sekali gus (mereka berdua suami isteri) yang meninggal dunia akibat kemalangan  pada waktu senja di jalan susur keluar Bangi. Ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke Seksyen 14 Petaling Jaya dari kampung mereka di Tanjung Malim. 
(AL FATIHAH buat Allahyarham Abang Pin (Ahmad Ariffin) dan Allahyarham Zainab Jusoh (Mek Nab).  

WAKTU ISYAK

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna indigo dan seterusnya memasuki fasa kegelapan.

Waktu Isyak sangat tenteram dan damai di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Mereka yang kerap ketinggalan Isyak akan selalu berada dalam kegelisahan. Di segi agama Islam, alam kegelapan ialah waktu tidur. Ini bukan masa untuk melepak di kedai mamak.

Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

QIAMULLAIL

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ia bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.

Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas kaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia memang telah sedar akan kepentingan tenaga alam. Inilah faktor wujudnya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi dan qi-gong, semuanya untuk menyerap tenaga alam ke sistem tubuh.

Umat Islam patut bersyukur kerana telah dikurniakan syariat solat oleh Allah SWT tanpa perlu memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Allah SWT mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Sebagai Pencipta, Dia tahu hamba-Nya ini amat memerlukan-Nya.

No comments:

Post a Comment