Saturday, June 23, 2012

Fenomena Ekuinoks


serenemaklong.blogspot.com

PADA awal Februari, fenomena dunia tanpa bayang dilaporkan berlaku di Bogor dan Jakarta, Indonesia. Dalam kejadian itu, tepat jam 12 tengah hari bagi tempoh dua hingga lima minit, orang ramai tidak dapat melihat bayang-bayang sendiri di bawah sinar matahari kerana ia berada tepat atas kepala.

Hasil liputan akhbar menyebabkan ramai ingin tahu mengenainya. Tidak kurang juga mereka yang bereksperimen dengan meletak telur (tidak kira telur apa pun) di kawasan lapang di bawah panas matahari. Bila tiba waktu fenomena tanpa bayang, telur-telur yang diatur akan “bangun” perlahan-lahan dan berdiri sendiri. 




Menurut Ketua Unit Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa ANGKASA, Mohd Zamri Shah Mastor, fenomena tanpa bayang juga dikenali sebagai peristiwa Ekuinoks. Ia berlaku apabila Matahari melintasi tepat garisan Khatulistiwa ketika ia bergerak dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara Bumi. Kejadian ini berlaku setiap Mac dan matahari juga akan melintasi Khatulistiwa dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan Bumi setiap September pula.  

Malaysia telah mengalami ekuinoks tepat waktu tengahari di beberapa tempat mengikut kedudukan garisan-garisan lintang tertentu pada 26 Mac hingga 29 Mac. Ia akan berulang pada 28 September hingga 2 Oktober depan.

Tiada yang istimewa pada hari berkenaan selain matahari berada tepat di atas kepala pada waktu tengahari. Ini menyebabkan kita tidak nampak bayang-bayang sendiri jika berdiri di tengah panas. Fenomena berkenaan juga berlaku setiap hari tetapi di lokasi berbeza mengikut garis lintang kedudukan pergerakan matahari. Ini bermakna setiap negara yang berada di antara garisan Sartan dan Jadi, termasuk Khatulistiwa, akan merasai fenomena berkenaan.

Fenomena itu berlaku dalam tempoh singkat kira-kira dua hingga lima minit dan tidak memberi kesan langsung kepada penduduk bumi seperti kejadian gerhana bulan dan matahari.

Ahli falak Islam yang masyhur, Imam al-Khawarizmi dan ahli sains Isaac Newton berpendapat, setiap dua jisim yang berdekatan mewujudkan kesan tarik menarik antara satu sama lain, sama ada kuat atau lemah tarikan itu. Disebabkan ketika berlakunya gerhana matahari, bulan berada hampir dengan bumi, pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi, mengakibatkan berlaku perubahan paras air laut dan mungkin angin yang memberi kesan kepada cuaca.

Gerhana bulan dan matahari juga boleh membawa perubahan kepada tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan benda hidup di dunia ini. Contohnya, jika berlaku gerhana matahari di mana waktu siang tiba-tiba bertukar menjadi gelap seperti malam, mungkin haiwan seperti burung akan keliru dan menyebabkan ia terbang pulang ke sarang atau tidak berhaluan.

Berbeza dengan kedua-dua gerhana berkenaan, fenomena ekuinoks  hanya kejadian tiada bayang kelihatan pada tepat waktu tengahari di sesuatu tempat ketika matahari melintasi garisan lintang kawasan berkenaan. Selepas daripada tarikh itu, bayangan mereka akan kelihatan semula jika dilihat di atas tanah pada tepat waktu tengahari kerana kedudukan matahari yang semakin beralih ke garis lintang sama ada arah utara ataupun mungkin arah selatan.

Semua bandar di dunia yang berada di antara garisan lintang 23.5 darjah Utara (garisan Sartan) dan garisan lintang 23.5 darjah Selatan (garisan Jadi) akan mengalami keadaan itu dan dalam tempoh setahun, hemisfera selatan terlebih dulu mengalaminya seperti di Australia pada bulan Disember hingga Januari.

Sebelum ini, tempat popular yang menjadi tumpuan ialah bandar Pontianak, Kalimantan Barat, kerana kedudukannya betul-betul di garisan Khatulistiwa. Bandar itu akan mengalami fenomena itu dua kali setiap tahun iaitu pada setiap 21 Mac dan 23 September.

Fenomena sama berlaku di Makkah pada 28 Mei dan 15 Julai setiap tahun, dimanfaatkan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk membetulkan arah kiblat masing-masing berdasarkan kepada unjuran arah bayang matahari di kawasan setempat masing-masing pada waktu itu akan menghala Makkah.

(Sumber: Rohaniza Idris/Berita Minggu/Zaitun Zainuddin)


No comments:

Post a Comment