Monday, May 1, 2017

Yang Diperlihatkan Hilang Nilainya


Seorang lelaki bernama Bahlul hendak menjual sebuah istana yang dibuat dari pasir dengan harga beberapa ratus dinar.

"Marilah beli istana pasir ini, nescaya anda akan dapat mahligai yang tersergam indah! Percayalah!!!"

Ramai yang mendengar tawaran jualan itu namun tiada siapa yang berminat dan percaya akan cakap si Bahlul.

Siti Zubaidah, permaisuri Khalifah Harun ar Rashid kebetulan lalu dekat dengan tempat Bahlul, lantas datang bertanya, "Benarkah jika dibeli maka akan diberikan mahligai yang indah?"

Setelah diyakinkan oleh si Bahlul maka Siti Zubaidah pun membeli istana pasir tersebut dengan harga beberapa ratus dinar.

Apabila Siti Zubaidah pulang ke istana, suaminya telah pun tahu tentang kisah itu. Tindakannya disindir dan dianggap kurang cerdik kerana percaya istana pasir bakal bertukar menjadi mahligai indah.

Pada malam itu Khalifah Harun ar Rasyid bermimpi melihat sebuah mahligai yang amat besar lagi cantik di dalam syurga.

Baginda menghampiri mahligai itu dan cuba masuk ke dalam, namun dihalang oleh penjaga mahligai yang mengatakan bahawa pemiliknya adalah Siti Zubaidah, permaisuri baginda.

Rupa-rupanya yang menjual istana pasir kepada Siti Zubaidah adalah Bahlul al-Majnun, seorang wali Allah. Duit hasil jualan istana pasir, Bahlul al-Majnun sedekahkan kepada fakir miskin yang memerlukan.

Mengetahui tentang itu, Khalifah Harun ar Rasyid pun pergi menemui Bahlul al-Majnun untuk membeli istana pasir yang sama.

Tatkala menyuarakan hasrat baginda, Bahlul al-Majnun mengatakan, "Sesuatu yang nampak kini sudah tiada nilainya."

Khalifah Harun ar Rasyid rasa hampa tidak dapat memiliki mahligai di dalam syurga seperti yang diihat di dalam mimpinya.

Pengajaran:

Beribadahlah sementara Allah belum tunjukkan ganjarannya. Bila semua sudah diperlihatkan kelak, maka tiada lagi nilai apa-apa ibadah pun.

(Sumber cerita: Amir Zarith)

No comments:

Post a Comment