Wednesday, May 3, 2017

Agama Rastafari- Dreadlocks- Marijuana - Bob Marley




Rastafari adalah agama yang lahir di negara Jamaica di Amerika Utara. Kebanyakkan masyarakat Jamaica adalah berasal daripada masyarakat Afrika yang menjadi mangsa pemerdagangan hamba. Di Jamica mereka dibaptis dan menjadi penganut Kristian sepertimana berlaku kepada hamba-hamba Afrika di Cuba, Haiti dan sebagainya. Rastafarian adalah sebuah nama yang berasal daripada seorang maharaja Ethiopia yang bernama Ras Tafari dan beliau memakai gelaran Haile Salassie I.

Rastafarian percaya bahawa maharaja kerajaan Ethiopia bernama Haile Selassie I merupakan raja segala raja, tuhan segala tuhan dan dianggap sebagai Lion of Judah sebagai Jah (nama panggilan kepada Tuhan). Mereka juga percaya Haile Salassie I merupakan salah satu unsur dari doktrin triniti dalam Kristian. Mereka menganggap Haile Selassie I sebagai Tuhan. Rastafarian kebanyakkan berkembang di kalangan orang miskin
di Jamaica.[1]

Sejarah

Sekitar abad 15 hingga abad 18 Masihi berlaku imperialisme besar-besaran dari pihak Barat ke atas Afrika dan termasuk juga Asia Tenggara. Di Afrika, Barat memperdagangkan ramai orang-orang Afrika ke Amerika Utara dan Selatan untuk dijadikan sebagai buruh atau lebih tepat lagi dijadikan sebagai hamba kerja mereka. Salah satunya lokasi yang ditempatkan orang-orang Afrika adalah Jamaica.

Selama itu masyarakat Afrika di Amerika Utara sering ditindas dan di diskriminasi oleh orang kulit putih. Oleh disebabkan penindasan itulah muncul gerakan harapan untuk pembebasan mereka samada di Jamaica dan juga negara-negara lain. Gerakan pembebasan yang muncul di Jamaica di celah-celah kaum kulit hitam kelas buruh dan petani pada awal tahun 1930. Terdapat seorang tokoh berpengaruh berkulit hitam bernama Marcus Garvey, beliau seorang pemimpin politik di Jamaica yang banyak memperjuangankan isu masyarakat Afrika-Amerika. Gerakkan beliaulah antara yang menyumbang kepada wujudnya agama Rastafarian.

Marcus Garvey mengetuai sebuah organisasi yang dikenali sebagai Universal Negro Improvement Association, yang mana misi mereka adalah untuk menyatukan orang kulit hitam dengan tempat asal mereka iaitu menghantar semula ke Afrika (Back To Africa). Antara ucapan Garvey yang dianggap pencetus kepada gerakan ini beliau menyatakan “Lihatlah di Afrika! Di sana akan ada seorang raja akan dinobatkan, Dia akan menjadi Penebus kalian!”[2]

Ucapan itu memberi harapan kepada masyarakat Afrika agar mereka dibebaskan dari belengu penindasan oleh orang kulit putih di Amerika Utara. Selepas berberapa tahun kemudian berlaku pertabalan seorang raja di Arfika. Pertabalan Maharaja Haile Selassie I di negara Ethiopia. Lalu masyarakat Afrika di Jamaica melihat bahawa dia adalah orang yang disebut oleh Marcus Garvey. Lalu timbul sebuah harapan yang begitu melangit kepada Haile Selassie I di Ethiopia, maka mereka membuat satu gerakan yang dikenali sebagai Rastafarian yang diambil sempena nama asal raja Haile Selassie.

Selepas daripada itu Rastafarian menggangap Haile Selassie I sebagai nabi berkulit hitam. Mereka memanggil dengan gelaran ‘Jah Rastafari’ yang bermaksud tuhan Rastafari. Haile Salassie I dianggap sebagai seorang tokoh yang akan menyelamatkan dan menebus orang kulit hitam dari penahan orang putih. Malah mereka juga percaya Maharaja itu akan menyatukan semula mereka dengan tanah air mereka di Afrika.
Gerakkan ini mendapat sambutan yang meluas di Jamaica. Pada tahun 1935 telah ditubuhkan sebuah cawangan pertama Rastafarian oleh Leonard P. Howell. Howell antara individu yang banyak mendoktrin ketuhanan Haile Selassie. Tindakan Howell telah menggalakkan orang lain untuk membantu membangunkan dan menyebarkan fahaman teologi Rastafarian.[3]

Oleh kerana terdapat gerakan yang memuja Haile Selassie I di Jamaica. Pada tahun 1966 Haile Selassie melawat ke Jamaica, di mana beliau telah disambut dengan semangat yang begitu hebat dengan harapan Haile Selassie membebaskan mereka dari negara Jamaica.

Pada ketika itu berlaku juga berlaku satu revolusi dalam industri muzik. Berlaku perkembangan muzik Reggae yang dipopularkan oleh Rastafarian kepada dunia. Antara yang terkenal dalam mempromosikan muzik ini adalah Bob Marley. Beliau adalah salah seorang tokoh yang paling penting di dalam agama Rastafarian. Muzik ini berkembang ke serata dunia. Di dalam perkembangan muzik itu juga diterapkan unsur-unsur keagamaan yang menjadi kepercayaan Rastafarian.

Pada tahun 1974 merupakan tahun yang menghampakan Rastafarian kerana pemerintahan Haile Selassie I telah ditumbangkan oleh revolusi Marxsis. Beliau dikatakan meninggal dunia secara misteri pada tahun 1975.

Kepercayaan

Penganut Rastafarian beriman kepada tuhan Yahudi dan Kristian. Mereka juga percaya kepada konsep triniti di dalam Kristian. Mereka memanggil dengan nama ‘Jah’ yang merupakan singkatan kepada nama Jehovah. Secara asasnya, kepercayaan Rastafarian adalah berdasarkan kepada kepercayaan agama Yahudi dan Kristian, sebab mereka beriman dengan Bible.

Penganut Rastafarian percaya bahawa tuhan Jah akan menjelma di bumi seperti Jah menjelma menjadi Jesus. Mereka juga percaya tuhan Jah telah menjelma menjadi Maharaja Haile Selassie I di Ethiopia. Bagi mereka Salassie I adalah jelmaan kedua selepas daripada Jesus.

Selassie I disebut sebagai keagungan empayar dan beliau dipercayai masih hidup. Walaupun kematian Selassie I telah diketahui umam tapi penganut Rastafarian mengatakan kematiannya itu adalah satu penipuan dunia. Menurut mereka dia hidup dalam perlindungan kuasanya dan menunggu hari untuk dibangkitkan semula. Haile Selassie I dianggap tuhan sepertimana mereka menganggap Jesus juga adalah tuhan.

Rastafarian percaya bahawa mereka adalah jelmaan semula kaum Israel Kuno yang menjadi orang buangan di Babilon. Sepertimana dalam sejarah bani Israel, mereka pernah menjadi orang buangan dan kehidupan mereka begitu tertekan di Babilon sehinggalah datang seorang raja yang membebaskan mereka untuk pulang kembali ke Jerusalem iaitu raja Cyruss The Great. Begitulah situasi mereka sekarang, mereka menggangap Jamaica adalah tanah Babylon yang menjadi tempat buangan kaum Israel dahulu dan mengharapkan mereka untuk kembali semula ke ‘Zion’ atau Afrika.

Rastafarian tidak beriman kepada adanya hari akhirat. Bagi mereka neraka adalah Jamaica manakala syurga pula adalah negara asal mereka iaitu Afrika. Mereka menamakan Afrika dengan panggilan ‘Zion’ sebagai syurga di bumi.

Sekira menurut ucapan pendakwah Rastafarian, Leonard Howell, mereka juga sering menghidupkan sifat rasisme dalam kumpulan mereka seperti sifat kebencian terhadap orang kulit putih dan mereka sering menceritakan kelebihan orang kulit hitam. Mereka juga mendakwa orang kulit hitam adalah orang-orang pilihan tuhan seperti kaum Israel. Mereka juga percaya bahawa orang kulit hitam akan memerintah dunia suatu hari nanti dan mereka juga percaya suatu hari nanti orang kulit putih akan menjadi hamba-hamba bangsa berkulit hitam. Kepercayaan ini timbul apabila mereka merasa perit ditindas oleh bangsa berkulit putih.

Dalam Rastafarian, ganja atau marijuana dikira sebagai alat untuk spiritual dengan Tuhan. Bagi mereka menghisap ganja dituntut dalam Bible.[4] Mereka akan menggunakan sejenis bekas yang memiliki paip untuk menghisap ganja yang dikenali sebagai ‘bong’ atau Rastafarian memangilnya ‘ganga’. Sebelum mereka menghisap bong tersebut, mereka akan berdoa.[5]

Kebanyakan kaum Rastafarian adalah vegetarian atau hanya memakan jenis-jenis daging tertentu sahaja. Arak juga dilarang dalam agama mereka. Di Amerika Syarikat terdapat banyak restoran vegetarian yang menyediakan makanan Jamaica.

Kitab Suci

Kitab suci Rastafarian dikenali sebagai Holy Piby, atau dikenali sebagai Bible Orang Hitam. Ini kerana diskriminasi diantara orang kulit putih dan kulit hitam begitu serius di Jamaica sehingga perlu membuat Bible untuk versi orang kulit hitam. Bible ini telah disusun oleh Robert Athlyi Rogers Anguilla sekitar tahun 1913-1917 dan diterbitkan pada tahun 1924. Al-Piby adalah versi Bible Kristian yang ada sedikit perbezaan dengan Bible biasa. Mereka juga mengamalkan penafsiran secara hermeneutik dan itu menyebabkan amalan dan ritual Rastafarian agak unik dan berbeza dengan agama Kristian lain.

Bob Marley Dan Rastafarian

Ramai orang menggagumi batang tubuh penyanyi lagu No Woman No Cry. Lagu-lagu Reggea yang diperkenalkannya mendapat sambutan dari kalangan anak muda. Malah gaya rambut, gaya hidup dan segala yang ada pada Bob Marley dijadikan sebagai trend. Bob Marley sinonim dengan imej berambut dreadlock, imej ganja dan juga imej warna merah, kuning dan hijau. Ketiga-tiga ini bukanlah budaya atau trend tetapi ia merupakan amalan kepercayaan agama yang diamalkan oleh Bob Marley. Iaitu kepercayaan agama Rastafarian.

Warna merah, kuning, hijau adalah warna bendera agama Rastafarian di Jamaica. Warna itu adalah melambangkan kepada warna bendera di Ethiopia. Sedangkan warna bendera Jamaica adalah hijau, kuning dan hitam. Imej bendera Rastafarian itu adalah bermaksud bahawa Ethiopia adalah Zion (Tanah Pembebasan atau dikenali sebagai syurga) bagi Rastafarian.[6]

Begitu ramai anak muda menggayakan rambut dreadlock atau dikenali gimbal disebabkan mereka fanatik dengan Bob Marley. Bob Marley membuat gaya dreadlock bukanlah disebabkan budaya atau tradisi tetapi gaya itu juga merupakan salah satu tuntutan dalam ajaran Rastafarian. Perkara itu disebut di dalam Bible mereka buku Imamat bab 21 ayat 5 yang melarang mereka untuk mencukur rambut. Tuntutan itu bersifat ‘sunat’ dan tidak wajib kepada semua Rastafarian untuk melakukannya. Bagi mereka dengan berimej dreadlocks, mereka akan lebih dekat dengan tuhan Jah kerana dengan rambut itu mereka terlihat seperti singa (Lion of Judah).

Bob Marley juga sering kali diimejkan dengan menghisap ganja atau marijuana. Sebenarnya itu juga merupakan anjuran di dalam agama Rastafarian. Menghisap ganja adalah dikira pengalaman spiritual mereka. Kebiasaannya Rastafarian akan menghisap ganja apabila mereka ingin bersyair atau bernyanyi. Bagi mereka itulah cara untuk memperolehi kebijaksanaan dan itu menjadi sebahagian daripada ritual keagamaan untuk mendekatkan diri mereka kepada Jah.

Kisah hidup Bob Marley adalah sebuah inspirasi kepada ramai anak muda, di dalam lagunya Bob Marley berbicara tentang politik, wawasan metafizik, kesenian, dan juga kesejahteraan. Lagu berjudul ‘Exodus’ umpamanya adalah lagu yang mengharapkan seorang pahlawan yang akan membebaskan masyarakat Afrika di Jamaica. Lagu ‘Redemption Song’ adalah lagu yang jelas menceritakan situasi masyarakat Afrika yang menjadi mangsa pemerdagangan dan mereka perjuangkan kebebasan. Manakala lagu ‘One Love’ pula menyeru kepada kesatuan kemanusiaan di dunia sesuai dengan apa yang dibawa oleh Rastafarian.

Sejarah telah membuktikan bahawa Bob Marley adalah seorang tokoh penggerak pembebasan Jamaica sekaligus merupakan seorang pendakwah Rastafarian melalui muziknya. Beliaulah yang membawa Reggae ke seluruh dunia sehingga pada hari ini terdapat ramai anak muda Malaysia yang meminati beliau. Selepas daripada beliau terdapat ramai penyanyi daripada Jamaica yang beragama Rastafarian membawa seruan yang sama. Diantarnaya adalah Damian Marley, Julian Marley, Alborosie dan ramai lagi. Mereka bukan sahaja membawa rentak dan irama tetapi mereka juga membawa nilai agama Rastafarian seperti memperkenalkan kebaikkan ganja dan juga cara hidup mereka. Sebagai contoh Alborosie membawa nilai dakyah agamanya begitu jelas di dalam lagu ‘Rastafari Anthem’. Bagi mereka muzik Reggae sudah menjadi suatu medium mereka memperkenalkan Rastafarian.

Rastafarian Hari Ini

Rastafarian pada hari ini terbahagi kepada tiga. Ketiga-tiga mazhab ini bersetuju mengenai prinsip-prinsip asas terutama mengenai ketuhanan Haile Selassie I. Pertama adalah mazhab Nyahbinghi. Mazhab kedua adalah Bobo Shanti yang telah diasaskan oleh Putera Charles Emanuel Edwards di Jamaica pada tahun 1950. ‘Bobo’ bermaksud hitam dan ‘Shanti’ merujuk peada suku Ashanti di Ghana. Manakala mazhab ketiga adalah ‘12 Suku Israel’. Mazhab ini telah diasaskan pada tahun 1968 oleh Dr Vernon. Mazhab ini dikira sebagai aliran yang paling liberal dalam Rastafarian dan ahlinya juga bebas untuk beribadah di mana-mana gereja.

Ulasan

Ada perbahasan yang selalu sinonim dengan Rastafarian samada mereka adalah agama atau sekadar gaya hidup semata. Setelah diteliti perbincangan dan doktrin dalam Rastafarian maka ketahuilah bahawa mereka adalah sebuah agama yang dijadikan gaya hidup. Mereka memiliki konsep ketuhanan tersendiri walaupun asasnya itu merupakan ajaran Kristian. Mereka juga telah memiliki Bible versi tersendiri dan mereka juga memiliki doktrin dan kepercayaan yang diasaskan oleh mereka sendiri. Inilah kekuatan yang membawa mereka kepada sebuah agama baru yang diasaskan di Jamaica.

Fahaman Rastafarian agak menarik kerana amalan agama mereka itu dijadikan sebagai identiti agama mereka. Mereka sinonim dengan menghisap ganja, menyimpan rambut, dan bermain lagu Reggae. Itu antara gaya hidup mereka yang jelas membentuk identiti kepada Rastafarian. Akan tetapi ramai anak muda pada hari ini tidak mengetahui bahawa itu bukanlah suatu trend semata-mata yang dibawa oleh Bob Marley tetapi ada adalah suatu tuntuan agama. Ingatlah, terutama bagi kaum muslim, nabi berpesan yang bermaksud: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum (dalam urusan agama), maka ia termasuk golongan mereka”. (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bazzar, Abu Daud Ibn Abi Syaibah. Hadis dinilai shahih oleh Ibn Taimiyyah dan al-Iraqi manakala al Albani mengatakan ia hasan).

Agama Rastafari ini wujud disebabkan terdapat suatu pengharapan yang begitu tinggi dalam jiwa mereka untuk dikembalikan ke Afrika. Mereka mencipta sebuah agama supaya timbul harapan untuk perjuangan itu. Sehingga mereka sanggup mentuhankan raja Haile Selassie I. Sedangkan pada awalnya raja Selassie tidak tahu menahu akan ada gerakan yang mempertuhankan beliau. Ini kerana harapan itu timbul apabila Marcus Garvey menyatakan akan ada seorang raja dari Afrika yang akan membebaskan mereka. Lalu selang beberapa tahun, raja Haile Selassie yang ditabalkan dan dia dijadikan sebagai raja yang diharap-harapkan oleh mereka sehingga wujud kepercayaan yang Rastafarian yang mana masyarakat Ethiopia sendiri tidak lakukan.

Sekiranya peluang pembebasan ini dapat dimanafaatkan oleh tokoh muslim terutama mereka yang berkulit hitam, alangkah terbuka luas ruang dakwah Islam kepada mereka. Mungkin dengan asbab itu mereka akan menganut agama Islam apabila dapat bebaskan mereka daripada Jamaica. Yang penting adalah melihat ruang macam mana untuk menyampaikan Islam kepada semua.

Wallahua’lam

Nota Kaki

[1] Lihat Dr. Ian Barnes, (2008). Mapping History World Religions, Eagle Editions, London, hlm 158
[2] Lihat – (2004). Encyclopedia of New Religions, A Lion Book, England, hlm 62
[3] Lihat Ibid hlm 63
[4] Hujah Rastafarian mengatakan Bible menganjurkan menghisap ganja dalam Kejadian 1:11, Kejadian 1: 29, Kejadian 3, Mazmur 104: 14, Amsal 15: 17, Wahyu 22: 2
[5] Lihat – (2004). Encyclopedia of New Religions, A Lion Book, England, hlm 63
[6] Dari segi warna merah melambangkan Gereja Triumphant atau gereja Rastafarians dan darah mereka, warna kuning melambangkan kekayaan Ethiopia dan warna hijau melambangkan keindahan dan kesuburan tanaman di Ethiopia.

[Team Multi Reverted Muslims]

No comments:

Post a Comment