Wednesday, May 3, 2017

Dari Tauhid Kepada Menyembah Api



Zoroaster atau Majusi merupakan salah sebuah agama yang terkenal di dunia dan pada hari ini, penganutnya berada di sekitar Iran, Azerbaijan dan juga India. Agama ini mengangkat tokoh terawalnya dikenali sebagai Zarathustra. Beliau merupakan keturunan Madia dan hidup di sekitar Parsi. Terdapat polemik terhadap tahun kelahirannya, ada yang pandangan sekitar abad 7 SM dan ada yang mengatakan sekitar abad 15 SM.

Perbincangan mengenai sejarah agama Zoroaster sangatlah rumit dan menarik. Di dalam agama ini terdapat sebuah kitab suci yang dikenali sebagai Zend Avesta dan di dalamnya terhimpun buku-buku wahyu dari Zarathustra khususnya buku Gathas (disebut sekarang Yasna: korban).

Disepakati oleh semua ilmuan teologi bahawa Zarathustra membawa konsep tauhid atau monotheisme. Tuhan di dalam agama ini dikenali sebagai Ahura Mazda. Nama Ahura Mazda adalah sebutan dalam Parsi Kuno (Achaemenid). Pada zaman Parthian pula ia disebut sebagai Hormazd dan pada zaman Sananid ia disebut Ohrmazd.

Tidak terdapat mana-mana ayat yang menggandingkan Ahura Mazda dengan sesuatu kuasa lain. Ia adalah berkuasa mutlak. Malah di dalam kitab suci Gathas menyebut tentang penafian kepada sembahan lain:

“I reject the authority of the Daevas, the wicked, no-good, lawless, evil-knowing, the most druj-like of beings, the foulest of beings, the most damaging of beings. I reject the Daevas and their comrades, I reject the demons (yatu) and their comrades; I reject any who harm beings. I reject them with my thoughts, words, and deeds. I reject them publicly. Even as I reject the head (authorities), so too do I reject the hostile followers of the druj.” (Zend Avesta, Yasna 12: 4)

Fahaman dan ajaran dibawa beliau dilihat paradoks dengan agama yang sedia ada di Parsi yang terpengaruh dengan agama Mesopotamia kuno. Yang mana di sana mereka menyembah dewa dewi seperti Anu, Marduk, Ashur, Enki, dan lain-lain.

Agama tauhid ini bermula bertapak kukuh dan meluas apabila ia diimani oleh seorang Raja yang adil dikenali sebagai Cyrus The Great di Parsi (memerintah 559-530 SM) yang menebarkan pemerintahan Achaemenid dari timur ke barat. Cyrus The Great merupakan raja yang banyak disebut dan dipuji di dalam Bible kerana dia telah membebaskan pembuangan Yahudi di Babilon. Orang-orang Yahudi dihantar pulang ke Jerusalem dan diperintahkan untuk membina rumah ibadat mereka di sana. Kisahnya banyak terdapat di dalam Perjanjian Lama terutama dalam buku Yesaya, Daniel, 2 Tawarikh, dan Ezra.

Antara perkara menarik dilihat kepada situasi agama Zoroaster pada zaman awal tidak sama dengan amalan Zoroaster sekarang. Pada hari ini agama ini sinonim dengan jolokan agama penyembah api yang memiliki kuil api. Sedangkan pada zaman awal hal ini belum pernah berlaku sehinggalah ia ajarannya berubah bentuk disebabkan faktor perperangan, sinkretisme, politik dan juga inovasi ke dalam agama.

Bermula Ia Diseleweng

Seperti berlaku kepada ajaran rasul-rasul terdahulu, agama tauhid yang dibawa mereka tidak terlepas daripada bid'ah dan penyelewengan sehingga mewujudkan agama-agama yang ada pada hari ini. Begitulah juga terjadi kepada agama yang mentauhidkan Ahura Mazda ini.

Dapat dikesan, pengaruh agama Mesopotamia kuno telah menyerap (sinkretisme) ke dalam kebudayaan Parsi terutama pada zaman Darius The Great (empayar Achaemenid 550-330 SM: selepas pemerintahan Cyrus The Great). Ini dapat dilihat dari peninggalan ukiran di Persepolis yang merupakan ibu kota Parsi pada pemerintahan Darius I. Antaranya simbol faravahar, seni ukiran raja-raja Achaemenid yang memiliki ukiran yang hampir sama dengan bentuk dewa Mesopotamia yang memiliki sayap. Akan tetapi sinkretisme pada zaman awal ini belum parah dan tidak melibatkan soal aqidah.

Bermulanya rosak agama ini apabila masuknya hellenisme dari Yunani yang bersama tentera Alexander the Great ketika mereka membakar dan menghancurkan kota Parsi pada tahun 330 SM. Hal ini terakam dalam penulisan Herodotus bukunya The Histories. Pada zaman ini juga kitab-kitab suci Zoroaster seperti Gathas dan lain-lain dibakar oleh tentera Yunani dan agama ini mula dipencilkan dan ia berterusan suram pada zaman pemerintahan Seleucid pada tahun 312-62 SM (pemerintahan general Alexander setelah beliau meninggal).

Setelah itu, terdirinya kerajaan Parthia (247 SM-224 M) yang mengambil masa agak lama untuk membangun di bahagian timur Parsi dan mereka memerangi kerajaan Seleucid sehingga mereka dapat memerintah semula Parsi dari tangan orang Yunani. Bermula pada zaman Parthia inilah bermulanya pembinaan kuil api ‘ateshgah’ dan pemujaan terhadap api. Malah menurut seorang pengkaji Zoroaster bernama Mary Boyce dalam kajiannya Encyclopedia Iranica menyatakan kuil api dikesan mula dibina pada abad 4 SM dan ia berlaku sekitar pemerintahan Parthia di Parsi. Sebelum daripada itu tidak ada satupun kuil api yang dibina (ateshgah yang ada tidak melebihi usia 2300 tahun).

Tradisi ini diteruskan dan berkembang sehingga pada zaman pemerintahan Sasanid (224-651 M) yang berpusat di Yazd dan kuil api pada zaman pemerintahan ini masih ada di Iran. Pemerintahan Sasanid membangun selepas kejatuhan kerajaan Parthia di Iran. Pada zaman ini mereka melengkapkan semula kitab Zend Avesta yang pernah dimusnahkan pada suatu ketika dahulu. Mereka juga membuat penambahan kitab agama Zoroaster yang dikenali penulisan Pahlavi. Dan begitu juga terkesan kepada konsep Ahriman (kuasa kegelapan) dilihat setara dengan Ahura Mazda juga bermula pada zaman ini (Konsep Dualisme). Oleh itu, tidak ada sebarang jaminan bahawa kitab induk Zend Avesta sekarang ini bersih daripada sebarang tahrif (penambahan dan pengurangan) atau penyelewengan.

Pada hakikatnya Zarathustra tidak pernah membawa fahaman 'pemujaan' kepada api. Wallahua’lam, jika dilihat di dalam kitab Zend Avesta sendiri pun terdapat unsur kemuliaan kepada api dan hal ini tidak boleh dikatakan ia adalah kata-kata wahyu Zarathustra kerana kitab ini pernah malap sekitar 200 tahun lamanya sehingga ia ditulis semula pada zaman kemudian. Pada zaman kitab Zend Avesta dihimpun, situasi penganut Zoroaster sudah berbeza dengan tradisi awal kerana pada zaman itu mereka sudah memiliki kuil api dan sebagainya.

Api menurut Zarathustra di dalam kitab Gathas adalah alat yang menjadi wasilah wahyu yang disampaikan oleh malaikat melaluinya:

“What award Thou givest through the (holy) Spirit and through the Fire and hast taught through Asha, to both the parties, and what the decision is for the wise, this do Thou tell us, Mazda, that we may know, even with the tongue of Thine own mouth, that I may convert all living men.” (Yasna 31: 3)
Terjemahan lain berbunyi:

“What shall Thou, O God, bestow upon us through Thy spiritual lights? What is the bliss attainable through truth and purity which has been promised to all? What order has been issued in respect of the learned ones? Explain to me, O Mazda, whole of the said facts and enlightened me with Thy inspiring words, so that I may convert all the people into the right path.” (Yasna 31: 3)

Di dalam ayat seterusnya Zarathustra menyebut nama-nama malaikat (Ahuras) seperti Spenta Armaiti dan Vohu Manah. Tanda api itu digambarkan medan perhubungan dia dengan Tuhan. Begitu juga di bahagian lain menyatakan api adalah simbol wasilah antara Zarathustra dan Ahura Mazda. Melihat kepada ayat ini ia hanyalah perbuatan khusus kepada Zarathustra sahaja.

Jelas seperti pada zaman awal, penganut Zoroaster tidak menganggap api itu sebagai wasilah menuju Tuhan. Ia hanya sekadar simbol penyatuan dan pencerahan. Antaranya Herodotus di dalam bukunya The Histories menyatakan pada pertengahan abad ke 5 SM, penganut Zoroaster menyembah ke langit yang terbuka. Manakala pengkaji agama Zoroaster, Mary Boyce mengatakan tidak terdapat kesan peninggalan terhadap kuil pemujaan api sebelum pemerintahan Parthia.

Masih banyak lagi bukti-bukti yang menunjukkan bahawa agama tauhid yang dibawa oleh Zarathustra ini dicemari oleh tangan-tangan agamawan mereka sehingga pada hari ini mereka dijuluki golongan penyembah api. Walau bagiamanapun mereka tidak menganggap api itu sebagai tuhan sepertimana buddhis tidak menganggap patung Buddha itu sebagai tuhan. Mereka beralasan ia adalah wasilah untuk mereka dekat dengan tuhan.

Kesimpulan

Di dalam artikel ini kami tidak berniat untuk mengulas hubungkait ajaran Zarathustra itu dengan aqidah Islam seperti nabi dan rasul terdahulu. Walaupun ada antara ulama yang mengkelaskan Majusi atau Zoroaster ini adalah ahli kitab seperti pandangan Ibn Hazm di dalam kitabnya Al Fasl fi al Milal wa Ahwa’ wa al Nihal manakala ada pula yang menyatakan Zoroaster adalah ‘syibih ahlu kitab’ iaitu golongan yang menyerupai golongan ahli kitab seperti pandangan Al Syahrastani di dalam al Milal wa al-Nihal. Kami boleh kemukakan bukti dan fakta untuk mengulas mengapa ulama cenderung kepada sedemikian dan perbincangannya agak mendalam.

Akan tetapi perbincangan ini memberi gambaran bagaimana sikap pengamal sesebuah agama itu mengubah dan membuat inovasi terhadap ajaran tauhid yang dibawa oleh generasi awal. Ajaran yang memperkenalkan satu Tuhan dicemari dengan perantaraan seperti api dan air.

Wallahua’lam

[Team MRM]

No comments:

Post a Comment