Tuesday, May 23, 2017

Pengorbanan Cikgu Ahmad Saidin


Setiap hari, seawal 5 pagi,dengan beg sandang, seluar jean lusuh, kemeja berlengan panjang dibasahi peluh dan kasut berselut, Cikgu Ahmad Saidin Mohd Idris bermotosikal kapcai meredah jalan sejauh 130km pergi dan balik dari rumahnya di Kuala Medang ke Sekolah Kebangsaan Lenjang, Lipis, Pahang. Sekolah itu menjadi tumpuan 456 pelajar Orang Asli keturunan Semai dari kawasan  berdekatan.
Sudah lebih tiga tahun Cikgu Saidin mengajar di sana, beliau pernah jatuh ketika melalui jalan yang tidak rata, juga pernah terserempak dengan binatang liar, namun tekadnya tetap teguh untuk menjalankan kewajipan sebaik mungkin.

SK Lenjang mempunyai 25 orang guru dan kebanyakan mereka boleh bertutur bahasa Semai. Mereka yang tinggal di kuarters tidak jauh dari sekolah, mengambil inisiatif melatih  pelajar-pelajar Tahun Enam pada waktu malam. Mereka biasanya datang ke kuarters berkenaan pada hari Ahad dan pulang ke rumah masing-masing pada petang hari Jumaat. 
Mereka dan kakitangan sekolah yang terdiri daripada pengawal keselamatan, bagaikan sebuah keluarga besar. Keadaan mereka lebih meriah ketika Hari Sukan diadakan. Walaupun anak-anak Semai agak pemalu tetapi mereka amat meminati sukan.



No comments:

Post a Comment