Sunday, November 20, 2016

Syafaat Di Laungan Azan



Pada hari kiamat nanti,kita amat mengharap syafaat dari Nabi s.a.w.selain amal ibadat yang dilakukan untuk memperoleh syurga.Salah satu di antara amal yang dijanjikan oleh nabi boleh menjadi sebab mendapatkan syafaatnya adalah menjawab azan dan berdoa setelah azan.

Dari Abdullah bin Amr bin Ash radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jika kamu mendengar azan, maka jawablah seperti apa yang dilaungkan muadzin, lalu baca selawatlah untukku, kerana barangsiapa yang berselawat untukku, maka Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali. Kemudian mintakanlah kepada Allah untukku al-wasilah, kerana ia adalah satu kedudukan di syurga yang tidak sepatutnya, kecuali untuk seorang hamba Allah; dan aku berharap, (bahawa) akulah orangnya. Barangsiapa yang memohonkan untukku al-wasilahَ maka akan mendapat syafaatku.” (HR. Muslim 875, Nasai 686 dan yang lainnya).

Dalam riwayat lain, dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhuma, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Siapa yang mendengarkan adzan, lalu dia membaca doa, maka halal baginya untuk mendapatkan syafaatku pada hari kiamat. (HR. Bukhari 514, Ahmad 14993 dan yang lainnya).

Jadi melaksanakan tiga tuntutan iaitu menjawab azan seperti yang diucap oleh muazzin,membaca selawat setelah menjawab azan dan membaca doa selepas azan itu adalah jalan untuk mendapat syafaat dari nabi.Tidak susah pun,tetapi seringkali diabaikan dengan bercakap semasa azan,bukan menjawab azan.Doa selepas azan pun entahkan tak hafal, sekedar kumat kamit mulut saja atau dilafaz bagai melepas batuk di tangga, tidak dilafaz seperti doa yang bersungguh-sungguh.

Dalam sehari kita akan mendengar 5 kali azan,bermakna ada 5 kali kesempatan untuk memohon syafaat nabi.Jika 50 tahun bermakna kita menjawab azan,selawat dan doa kepada nabi sebanyak 91,250 kali. Tidak mungkinkah satu dari jumlah yang banyak itu diterima Allah,diterima nabi,dan kita mendapat syafaat nabi.

Oleh itu, setiap kali azan,bertekunlah menjawab dan berselawat serta berdoa.Jangan buat sambil lewa saja. Wallahua'lam

[Abdul Ghani Haron]

No comments:

Post a Comment