Friday, April 15, 2016

Syurga Di Dunia


Kata Ibn Taimiah, “Dalam dunia ini ada satu syurga. Siapa yang tidak masuk dalam syurga itu, tidak akan dapat masuk ke syurga akhirat.”

Yang dimaksudkan oleh Ibn Taimiyah ialah SYURGA DAN RASA BAHAGIA DENGAN AMAL SOLEH. Contoh:

• Di mata manusia lain, seseorang individu sedang menghadapi cabaran dalam hidup disebabkan keadaan fizikal yang terhad. Namun, individu ini enggan solat bersendirian di rumah. Dia tetap mahu solat berjemaah di rumah Allah meskipun terpaksa bertongkat ataupun dipapah orang. Hatinya gembira bila mendengar seruan azan dan merasa bahagia dapat melakukan perintah Allah itu di masjid.

• Individu yang tidak menjadikan penyakit yang dihidapinya sebagai sebab untuk berhenti menulis perkara-perkara ilmiah.

• Individu yang sentiasa berzikir dan berselawat. Dia gembira bila mana zikir yang dituturkannya dapat terpancar dari lisan saat dirinya berdepan dengan sakratulmaut.

• Individu yang gembira dapat membantu hamba-hamba Allah lain. Dia berupaya melihat sisi positif mereka, sedangkan ramai orang lain berfikiran negatif mengenainya.

• Individu yang redha dengan ketentuan Allah ke atasnya. Keredhaan itu menjadikan dia semakin dekat kepada-Nya.
• Individu yang merasa bahagia kerana berjaya membentuk keluarga soleh solehah, di samping bersilaturahim dengan jiran dan ahli kariah masjid di kejiranannya.

• Individu yang merasa bahagia bila dapat berkongsi manfaat rumah serta kenderaan yang dianugerahkan Allah kepadanya dengan kedua ibu bapa dan mereka yang memerlukan bantuan.

• Individu yang ikhlas dan bebas menyumbang bakti semata-mata kerana LILLAHITAALA. Tiada siapa boleh memaksa dia melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan rasa seksa kepadanya. Kata-kata manusia yang memuji apalagi mencaci tidak membekas di hatinya. Dia melakukan itu semua dari keluhuran hati sendiri, bukan kerana hendak menjaga hati.

• Individu yang rasa bahagia menyembah Allah S.W.T. semata-mata. Dia tidak menyekutukan-Nya dengan menjadi penyembah wang, pangkat dan kedudukan, harta kekayaan, fesyen ataupun imej.

Inilah sebahagian daripada syurga dunia yang mampu membawa seseorang hamba Allah ke syurga akhirat.

[Artikel yang diilhamkan dari Program "Tanyalah Ustaz" TV9]

No comments:

Post a Comment