Friday, April 15, 2016

Jom Dakwah


Setiap orang Islam patut berdakwah. Jangan harapkan para ustaz/ustazah dan ulama semata-mata. Jangan juga tunggu sehingga ilmu penuh di dada. Kebaikan yang dikongsi dengan orang lain melalui media yang sesuai, jika diamalkan oleh penerima perkongsian itu, pahalanya diterima oleh si pengongsi.

Semua orang mempunyai sejarah jahiliah. Kadang-kadang orang yang telah menerima hidayah ingin berdakwah tetapi merasa sukar kerana ada pihak yang mengungkit kisah silamnya. Dalam hal ini pendakwah tidak perlu patah semangat. Teruskan sahaja usaha dakwah itu seadanya. Sama ada mahu diterima atau tidak, ia bukan soal lagi kerana yang memberi hidayah ialah Allah S.W.T.. Nabi s.a.w. sendiri dihina teruk oleh bapa saudaranya, Abu Lahab. Yang penting berdoalah supaya orang yang menghina itu diberi hidayah.

Pernah berlaku suatu ketika dahulu seorang wartawan dari Eropah membuat liputan kemusnahan di Palestin akibat pengeboman Israel. Dia ditakdirkan ketinggalan penerbangan pulang ke negara sendiri. Dua hari menjelang Ramadan itu dia menunggu penerbangan pulang yang berikutnya. Kerana ingin melihat cara orang Palestin meraikan Ramadan, dia singgah di sebuah rumah yang rosak teruk. Di dalamnya seorang wanita tua dan cucunya yang sedang bersiap sedia untuk berbuka puasa. Mereka mempelawa wartawan itu turut makan bersama.

Tiba-tiba terpacul soalan dari mulut wartawan, “Mengapa makcik nak berpuasa dalam keadaan macam ni?”

“Kami diajar berpuasa supaya dapat merasa keperitan hidup orang lain yang sedang kesusahan.”

Jawapan itu mengagumkannya. Walaupun diri sendiri pun hidup susah namun dia tetap menganggap dirinya lebih bertuah daripada orang lain. Inilah agama yang mengajar kebenaran. Hasilnya wartawan tersebut terbuka hati dan melafazkan syahadah. Dia kemudiannya meletak jawatan dan menjalankan kerja-kerja dakwah melalui penulisannya bagi menyedarkan orang yang belum Islam mengenai hakikat agama ini.

Dakwah boleh dilakukan di mana sahaja – di media sosial, tempat perniagaan, padang sukan, di mana sahaja, secara langsung atau tidak langsung, melalui lisan, tulisan dan akhlak yang mulia. Yang penting ikhlas dan melakukannya dengan cara yang betul.

Pastikan pakaian mengikut syariah, lisan bebas dari ucapan mungkar dan ibadah dijaga. Bagi pengongsi kebaikan di media sosial, pastikan sumber hadis yang dikongsi itu adalah sahih, bukan maudu’. Adalah lebih baik terlepas pahala kerana tidak berkongsi sesuatu yang akhirnya didapati benar daripada menanggung dosa akibat berkongsi sesuatu yang kemudiannya didapati palsu.

Dalam kita sibuk menyasarkan orang Islam supaya mengamalkan perintah Allah, jangan lupakan usaha dakwah kepada golongan yang belum Islam. Yusof Islam pernah menyatakan kekesalannya apabila ibu bapanya meninggal dunia dalam keadaan belum beriman. Dia menyalahkan orang Islam lain kerana tidak pernah berdakwah kepada mereka berdua. Malah, dia sendiri pun memeluk Islam hasil bacaan tafsir al-Quran, bukan kerana didakwah oleh penganut Islam.

Persiapkan diri dengan menambah ilmu dan kefahaman secara istiqamah. Terima teguran dari orang yang arif dengan agama secara positif. Saat paling membahagiakan ialah apabila kebaikan yang didakwahkan, diamalkan oleh orang lain.

No comments:

Post a Comment