Monday, May 30, 2011

Pengidap Asma


Asma ialah penyakit kronik atau gangguan respiratori yang menjejaskan saluran pernafasan, iaitu tiub yang membawa udara keluar dan masuk dalam paru-paru.

Pencetus asma termasuk bahan alahan, pencemaran udara, perengsa dan jangkitan virus. Asma menyebabkan batuk berterusan, berdehit, kesesakan dada, dan kesukaran bernafas.

Walaupun asma menjejaskan semua peringkat umur, ia paling sering berlaku pada  kanak-kanak. Lebih ramai anak lelaki mendapat asma berbanding anak perempuan, tetapi apabila dewasa, penyakit itu terbalik bila lebih ramai wanita yang mengidap asma berbanding lelaki.

Ketika kanak-kanak, Sarah (bukan nama sebenar) mempunyai asma. Ibu bapanya sering mengejarkannya ke wad kecemasan bila dia tidak bernafas atau  bergelut untuk bernafas. Batuk, dehit dan kesesakan dada menjadi sebahagian daripada gaya hidupnya. Kemudian bila anak itu memulakan senaman ringan pada usia 13 tahun, simtom itu lenyap.

Namun pada usia 42 tahun, ia tiba-tiba muncul semula dan Sarah tidak tahu di mana silapnya. Dia kembali bergantung pada alat penyedut. Dia berasa ini adalah disebabkan oleh gaya hidup yang sibuk, diet yang teruk, tekanan kerja dan kurang bersenam. Bertekad untuk menjalani kualiti hidup lebih baik, dia mendapatkan seorang jurulatih peribadi yang mengembalikan keadaan kesihatannya. Selepas setahun, semua simtom itu lenyap dan kini pada usia 61, asma Sarah dapat dikawal.

Asma tidak boleh dicegah atau disembuhkan, tetapi kebanyakan pengidap asma boleh mengawalnya sehingga simtom itu beransur-ansur kurang. Setelah itu mereka dapat menjalani hidup yang normal dan aktif. Senaman penting untuk pengidap asma tetapi ia harus dimulakan dengan berjalan kaki atau berenang yang boleh membantu melapangkan paru-paru.

Diet merupakan komponen penting untuk pengidap asma, terutama jika mereka mengambil  steroid. Diet yang sihat termasuk makanan daripada setiap kumpulan (karbohidrat, protein dan lemak) boleh memperbaiki sesetengah kesan pemakanan akibat terapi steroid. Diambil untuk tempoh yang lama, steroid boleh meningkatkan risiko  osteoporosis. Oleh itu adalah penting untuk mengambil suplemen kalsium. Bagi mengelakkan kesan sampingan, hadkan penggunaan garam dan makanan tinggi kandungan natrium serta mengurangkan jumlah kolestrol dan lemak dalam diet.
Pengidap asma masih boleh menjalani hidup normal tetapi perlu mengetahui apa yang mencetuskannya. Setelah itu lakukan apa sahaja yang boleh untuk mengelak atau menghadkan pengambilan benda-benda tersebut. Institut Kesihatan Nasional AS memberikan petua-petua berikut:
  • Jika bulu haiwan adalah satu masalah, pastikan haiwan peliharaan berada di luar rumah atau sekurang-kurangnya di luar bilik tidur.
  • Jangan merokok atau membenarkan perbuatan merokok dalam rumah.
  • Jika debunga menjejaskan kesihatan, duduk dalam rumah dengan penyaman udara terpasang.
  • Untuk mengawal hama habuk, cuci cadar, selimut, sarung bantal, dan alat mainan lembut seminggu sekali dalam air panas. Dapatkan sarung kalis habuk yang khas untuk tilam dan bantal.
  • Jika mendapat simtom ketika bersenam atau melakukan rutin aktiviti fizikal seperti menaiki tangga, bincang dengan doktor untuk mengetahui kaedah aktif fizikal yang lain tanpa menimbulkan simtom asma. 
  • Jika alah terhadap bahan sulfat, elakkan makanan (seperti buah kering) atau minuman yang mengandunginya.

No comments:

Post a Comment