Friday, May 6, 2011

Selepas Kehidupan


serenemaklong.blogspot.com

Alam Barzakh

Firman Allah SAW:
Mengapa kamu kafir kepada Allah, padahal kamu sebelum itu mati, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya semula, kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan (Al Baqarah 28).

Pada mulanya roh semua manusia berada di alam barzakh. Setelah membuat perjanjian dengan Allah untuk mentaati segala perintahNya, Allah meniupkan roh manusia ke janin di dalam alam rahim (ibu). Di sinilah bermula kehidupan manusia sehingga dia dilahirkan ke dunia.

Alam Kehidupan Dunia

Firman Allah SAW:
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya (Al Mulk 2)

Tujuan utama manusia dihidupkan ke dunia ialah untuk menunaikan janji ketika di alam Barzakh dahulu.

Bagi meningkatkan ketaqwaan, Allah menurunkan berbagai ujian berupa kekayaan, kemiskinan, kesenangan, kesusahan, kesihatan, kesakitan dsb. mengikut tahap kemampuan dan ketahanan setiap hamba Allah itu.

Apabila semua tujuan dan kepentingan kehidupan itu telah selesai, manusia akan kembali kepada Penciptanya.

Firman Allah SAW:
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan. (Al Ankabut 29)

Alam Kematian

Ketika berhadapan sakaratul-maut

Daripada Salman Al-Farishi: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, mafhumnya
Perhatikan tiga perkara pada mayat ketika saat kematiannya. Jika memercik peluh dahinya dan berair dua matanya dan kering dua bibirnya, maka ia adalah rahmat Allah yang turun kepadanya.
Jika dia mendengkur seperti orang yang tercekik, merah warnanya dan pucat dua bibirnya maka dia adalah azab Allah yang turun kepadanya.

Menerusi sebuah hadis qudsi Allah berfirman mengenai orang yang disukainya:
Aku tidak akan mengeluarkan seorang pun dari dunia ini padahal Aku mahu merahmatinya melainkan Aku tebus setiap kesalahan yang dilakukannya dengan menimpakan penyakit pada tubuhnya dan bencana kepada keluarganya dan anak pinaknya, kesempitan pada kehidupannya dan kesukaran rezekinya sehingga kejahatannya menjadi seberat timbangan zarah dan jika masih ada kesalahanya maka Aku kuatkan sakit sakaratul-mautnya sehingga dia datang menemui-Ku seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.

Mengenai orang yang tidak disukaiNya:
Demi kemuliaan-Ku, tidak Aku keluarkan dari dunia ini seorang hamba yang Aku hendak seksakan melainkan aku cukupkan segala amalan baik yang dilakukannya dengan memberikan kesihatan pada tubuh badannya dan keluasan rezekinya serta kemewahan hidupnya sehingga kebaikannya itu menjadi seberat zarah dan jika masih tinggal kebaikan itu maka Aku permudahkan dia menghadapi mati sehingga dia datang menemui-Ku tanpa kebaikan yang dapat menyelamatkannya dari api neraka.

Berbaik sangka pada Allah

Hammad bin Salamah meriwayatkan daripada Thabit daripada Anas bin Malik, katanya: Rasulullah saw bersabda, mahfumnya:
Janganlah seorang daripada kamu mati melainkan dia berbaik sangka dengan Allah kerana berbaik sangka dengan Allah harganya ialah syurga.

Al-Fudail berkata:
Takut (kepada Allah) adalah lebih afdal daripada berharap selagi seorang hamba itu masih sihat tetapi menjelang kematiannya maka mengharap (kemurahan Allah) adalah lebih afdal daripada takut.

Sebutan La Ilaha Illallah

Apabila seseorang yang sedang nazak diajar kalimah la ilaha illallah dan dia dapat menyebutkannya sekali, janganlah dipaksa dia mengulanginya lagi kerana hukumnya makruh. Larangan ini adalah kerana dibimbangi desakan itu akan menyebabkan orang itu buntu dan ketika itu pula syaitan memberatkan lidahnya daripada menyebutnya lagi sehingga menjadikan orang itu memperolehi kesudahan yang buruk. 

Adab menziarahi si mati

Apabila menziarahi orang mati, bercakaplah mengenai perkara yang baik kerana malaikat mengaminkan apa dikatakan itu.

Rasulullah melarang umatnya daripada menyebut keburukan si mati kerana ini boleh menyakitkannya. Larangan ini juga mencakupi penderhakaan pada ibu bapa setelah mereka mati dengan melakukan perbuatan yang mereka tidak suka semasa mereka hidup.

Syaitan mendatangi orang sedang nazak

Orang sedang nazak akan didatangi oleh dua syaitan yang menyerupai orang-orang yang dikasihi oleh orang tu lalu memujuknya supaya mati dalam agama Nasrani dan Yahudi. 

Oleh kerana itu semasa hidup, banyakkan berdoa dengan surah Ali Imran ayat 8:
Wahai Tuhan kami, janganlah Kau pesongkan hati kami (sesatkan hati kami ketika saat kematian) sesudah Kau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Kaulah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.

Segala amal dikira dengan kesudahan usia

Dalam hadis Al-Bukhari yang diriwayatkan daripada Sahl bin Saad daripada Rasulullah yang bersabda, mahfumnya:
Sesungguhnya ada hamba yang beramal dengan amalan ahli neraka (membuat jahat pada awalnya, kemudian bertaubat nasuha) sedangkan dia termasuk di kalangan ahli syurga dan ada orang yang beramal dengan amalan ahli syurga (beramal soleh pada awalnya, kemudian berubah kufur) sedangkan dia termasuk di kalangan ahli neraka. Sesungguhnya segala amalan itu adalah berdasarkan kepada (amalan) kesudahan usianya.

Iblis mulanya warak menyembah Allah tetapi akhirnya dilaknati dan menjadi penghuni neraka lantaran ingkar perintah Allah supaya sujud kepada Adam a.s.

Peringatan sebelum ajal menjelang

Sebelum ajal tiba Allah memberi peringatan seperti sakit dan penyakit, uban, tua, hilang daya pendengaran dan penglihatan. Semua tanda-tanda ini menunjukkan usia yang berlalu meninggalkan kita. Kita harus merebut peluang keemasan ini sebelum terlambat.

Abu Al-Faroj Al-Jauzi dalam kitab Raudhatul Musytaq Wa Al-Tariq Ila Maliki Al-Khallaq melaporkan bahawa setiap hari Malaikat Maut akan menyeru:

Hai orang yang mencecah usia empat puluhan, ini waktunya kamu membuat bekal. Fikiranmu masih cergas dan tubuhnya masih kuat.

Hai orang yang mencecah usia lima puluhan, telah hampir waktu pengambilan dan penuaian.

Hai orang yang mencecah usia enam puluhan, kamu lupa pada balasan seksa dan kamu lalai dari menyahut seruanku pada kamu tidak lagi mempunyai penolong.

Taubat

Sesungguhnya Allah bersedia menerima taubat seseorang hamba-Nya selagi nyawa belum sampai ke halkum (Al-Tirmidzi).

Apabila nyawa sampai ke halkum, hamba itu akan melihat untung nasibnya, sama ada mendapat rahmat atau kehinaan. Pada ketika itu taubat dan keimanannya tidak berguna lagi. Oleh kerana itu, sebaik sahaja melakukan salah satu daripada tujuh dosa besar, segeralah bertaubat dan jangan mengulanginya lagi. Menyegerakan bertaubat semasa tubuh masih sihat adalah lebih afdal.

Taubat mencakupi enam maksud iaitu:
  • menyesal atas dosa yang lalu
  • mengqada’ ibadat fardu yang ditinggalkan
  • mengembalikan barang yang diambil secara aniaya kepada pemiliknya
  • membiasakan diri melakukan amal ketaatan
  • merasai kepayahan dalam melakukan ketaatan
  • menghiasi diri dengan ketaatan dan menangis kerana takutkan Allah
Sebaliknya jika melakukan dosa-dosa kecil, segeralah beristighfar, supaya ia diampunkan. 

Firman Allah dalam An-Nisa 31:
Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampun kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

Saat Kematian

Al-Bazzar mengeluarkan satu hadis dalam musnadnya yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah dari Rasulullah saw yang bersabda, mahfumnya:
Apabila tiba saat kematian orang mukmin, maka datanglah malaikat membawa sutera syurga berisi kesturi dan seberkas dedaunan harum lalu ditariknya roh seperti ditarik rambut dari tepung dan dikatakan padanya: Hai jiwa yang aman damai, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau merelainya kepada Allah dan kemuliaan-Nya.
Rohnya keluar dengan bau yang harum dan  diletakkan di atas kesturi, kemudian sutera tersebut dilipat dan dibawa naik ke langit ketujuh. Allah memerintahkan amalan orang mukmin itu dicatatkan dalam kitab Illiyyin.

Apabila tiba saat kematian orang kafir maka datanglah malaikat membawa sehelai kain kasar yang terdapat di dalamnya bara api lalu dicabut rohnya dengan cabutan yang sangat kuat dan dikatakan padanya: Hai jiwa yang kotor, keluarlah dalam keadaan benci dan dimurkai kepada kehinaan dan azab yang disediakan Allah. Rohnya keluar dengan disertai bau yang busuk. Roh itu kemudiannya diletakkan di atas bara api dan kain kasar itu dilipat. Malaikat di langit enggan membukakan pintu untuknya. Kerana itu Allah memerintahkan amalan si mati dicatatkan dalam kitab Sijjin.

Menyegerakan pengurusan jenazah

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda:
Segeralah menyempurnakan jenazah kerana jika dia seorang yang baik bererti kamu menghantarnya ke tempat yang baik dan jika sebaliknya bererti kamu telah melepaskan keburukan daripada leher-leher kamu

Apabila jenazah sedang dikafankan, roh kembali menyusup masuk di celah tubuh dan kafan. Ketika diusung di atas keranda, roh mendengar perbualan orang ramai sama ada yang baik mahupun yang buruk. Bila tiba di tanah perkuburan, jasadnya disembahyangkan lalu dikebumikan.

Kenikmatan dan Seksaan Dalam Kubur

Roh mendengar langkah-langkah kaki orang yang meninggalkannya. Ketika itu roh dan jasadnya bersatu. Kemudian dia didatangi oleh malaikat Mungkar dan Nangkir yang datang menguji dengan tiga soalan mengenai Tuhan, Agama dan Utusan bagi manusia.

Dengan rahmat Allah orang beriman dapat menjawabnya dengan mudah. Ada riwayat mengatakan orang mukmin itu akan didatangi oleh seorang yang elok rupa serta berbau harum. Dia itulah amalan baik si mati. Orang itu akan memperlihatkan kepada si mati pintu syurga di mana dia mencium bau wanginya sehingga hari kiamat.   

Bagi roh yang dilaknati, dia gagal menjawab soalan Mungkar dan Nangkir. Kerana itu dia didatangi oleh seorang berwajah hodoh dan berbau busuk. Dia itulah amalan buruk si mati. Orang itu memerintahkan seorang yang buta, bisu dan pekak untuk memukul si mati dengan belantan. Pukulan ini berterusan sehingga hari kiamat.

(Sumber: Tazkirah Peringatan Hari Akhirat oleh Syeikh Mutawalli Sya’rawi)

No comments:

Post a Comment