Sunday, May 1, 2011

Kebaikan Susu Kambing


serenemaklong.blogspot.com

“Hendak minum susu kambing?” Mungkin ada di antara kita yang akan menolak pelawaan ini, kerana sudah terbiasa dengan susu lembu.

Sebenarnya, susu kambing dalam botol dan susu tepung dalam paket sudah terdapat di pasaran. Begitu juga produk berasaskan susu kambing seperti keju, mentega, sabun, losyen dan krim mandian. 

Semakin hari semakin ramai yang menggemari susu kambing. Sesetengahnya berkata ia mempunyai struktur kimia hampir sama dengan susu ibu manusia. Lantaran itu, bayi yang alah kepada susu lembu mampu minum dan makan makanan yang dicampur susu kambing. Barangkali ini disebabkan struktur protein yang ada dalam susu kambing.  

Susu kambing agak mahal. Harga bagi sebotol yang beratnya 200ml ialah RM4.99, hampir dua kali ganda harga susu lembu RM1.50 untuk jumlah yang sama. Ini adalah kerana penternakan kambing tenusu (jenis Nubian) yang dibawa dari negeri-negeri beriklim sejuk perlu ditempatkan di kandang kayu, oleh itu menelan belanja lebih besar, berbanding lembu tenusu hanya memerlukan bangsal.   

Sumber Kalsium
Susu kambing adalah minuman sunnah kegemaran Rasulullah s.a.w.  Secawan susu kambing mengandungi sumber kalsium 32.%, fosforus 27%. Di antara khasiat kalsium ialah:
  • melindungi sel kolon daripada kimia penyebab kanser,
  • menghalang tulang dari menyusut ketika menopos,
  • mengurangkan sakit artiritis rheumatoid, migrain dan simtom prahaid semasa fasa luteal (separuh masa kedua) kitaran haid,
  • membantu pembekuan darah, konduksi saraf, kontraksi otot, kelancaran aktiviti enzim, fungsi membran sel, kelancaran tekanan darah,
  • membantu menurunkan berat badan.
 Tubuh kita mempunyai sistem kawal atur yang kompleks untuk menentukan jumlah kalsium dalam darah  sentiasa cukup tersedia bagi kegunaan aktiviti fisiologi penting.

Sumber Vitamin dan Mineral
  • mempunyai 134 % potassium, 47% vitamin,
  • 4 kali kandungan kuprum berbanding susu lembu,
  • mempunyai riboflavin yang diperlukan bagi penghasilan dan pengekalan tenaga dalam badan,
  • molekulnya lebih kecil dari susu lembu, oleh itu sangat mudah dihadam.
 Nilai perubatan
  • membantu bayi yang mengalami gangguan usus, muntah, kolik, cirit-birit, sembelit dan pernafasan.
  • membaiki mineralisasi rangka tubuh,
  • meningkatkan vitamin serum darah, paras hemoglobin dan mineral,
  • mengandungi asid orotik yang menghalang hati daripada menjadi berlemak.
Keadaan susu kambing adalah lebih pekat dengan asid lemak sederhana yang meminimumkan simpanan kolesterol dalam arteri, juga melarutkan kolesterol dan batu karang.

Jika ingin minum susu kambing, anda hendaklah mendapatkannya dari sumber yang betul. Susu organik yang tidak dipastur mungkin mengandungi organisme yang berbahaya.

Penjualan susu mentah di UK adalah dikawal oleh Agensi Standard Makanan. Transaksi hanya dibenarkan di antara penternak dan pengguna itu sendiri, tidak melibatkan pihak ketiga. Susu mentah itu juga datang dengan amaran kesihatan.      

Keju susu kambing
Satu auns keju susu kambing hanya mengandungi 80 kalori, 6 gram lemak dan 240 gram kalsium berbanding keju susu lembu yang mengandungi 100 kalori, 10 gram lemak dan 200 gram kalsium. Molekul lemak dalam keju kambing lebih pendek, kerana itu ia sesuai untuk mereka yang alah pada laktosa susu lembu. Keju susu kambing hanya boleh didapati di pasaraya tertentu sahaja di Malaysia.

Produk Kecantikan
Mempunyai paras pH sama dengan kulit manusia, produk kecantikan yang bersumber dari susu kambing mampu menghalang kekeringan, oleh itu ia tiada kesan sampingan. Ia boleh menanggalkan kulit mati yang menyumbat liang roma menerusi kandungan asid alfa hidroksi yang semula jadi lagi lembut. Ciri anti-inflamasinya membunuh mikroorganisme penyebab jerawat dan membantutkan pembengkakan jerawat. Susu kambing asli tanpa sebarang penambahan merupakan bahan rawatan jerawat yang sesuai. Susu kambing adalah sumber semula jadi vitamin kulit iaitu vitamin A, B, C dan D, zat besi, protein dan lemaknya merupakan bahan terbaik.

Apapun, disebabkan susu kambing merupakan makanan tambahan, ada baiknya ibu bapa mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memberikannya kepada bayi yang berusia di bawah satu tahun.

Rujukan:

1 comment:

  1. salam.terbukti susu kambing mempunyai banyak khasiat penawar penyakit.sesiapa nak carik kami supply susu kambing nubian segar jenama farm fresh boleh call saya no 012-2331147 .kualiti terbaik di pasaran.saya hantar delivery di sekitar KL.nak susu segar pun ada,info lanjut layari http://susukambingkl.blogspot.com/


    ReplyDelete