serenemaklong.blogspot.com
Isu pemandu trak tunda bersikap ganas serta mengenakan caj melampau ala mafia, bukan lagi rahsia. Seringkali, pengguna yang mengalami situasi itu tidak tahu kepada siapa mahu mengadu.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan jalan raya terpaksa mengikut kemahuan pihak trak tunda yang hadir tiba-tiba adalah disebabkan tindak tanduk mereka yang ganas dan memaksa.
Pihak persatuan menerima pelbagai aduan melibatkan keganasan yang dilakukan oleh penyedia perkhidmatan trak tunda apabila pemilik kereta menolak tawaran mereka bagi menunda kereta disebabkan caj dikenakan terlalu mahal.
Malah ada kes melibatkan pergaduhan membabitkan dua pemilik trak tunda akibat berebut pengguna. Ini menunjukkan kaitan mereka dengan sindiket jenayah. Ada juga aduan pemilik kenderaan yang diterima mendakwa terlihat kesan minyak di lokasi kemalangan.
Lebih malang lagi, apabila mangsa ke balai polis untuk melaporkan kejadian kemalangan tersebut, mereka tidak mendapat layanan sewajarnya. Sepatutnya pegawai polis menyiasat laporan itu dan meneliti keadaan tempat kejadian terlebih dahulu, bukannya segera membuat andaian. Keadaan itu menyebabkan timbul persepsi akan hubung kait pegawai tertentu dengan pemilik kereta tunda sehinggakan pengadu hilang keyakinan kepada pihak berkuasa.
Sehubungan itu, Jacob menggesa pihak berkuasa meneliti isu itu dengan mendalam memandangkan jumlah kemalangan di negara ini amat tinggi. Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan undang-undang khusus melindungi hak rakyat.
Itu cerita mengenai pemandu trak tunda. Yang ini pula kisah `longkai` atau ejen bengkel pembaikan kenderaan. Dialog mereka lebih kurang sama sahaja:
“Jangan risau, saman saya akan tanggung dan kereta awak dijamin siap kurang dari 10 hari. Apa yang penting sekarang tandatangan sahaja di borang ini.”
Semuanya itu dilakukan untuk memancing pemilik kereta yang berdepan dengan masalah kerosakan atau terlibat dalam kemalangan jalan raya demi meraih komisyen.Bagaimanapun, amat menyedihkan apabila setelah pemilik kenderaan menandatangani ‘surat kuasa’ tersebut, longkai lesap bersama janji-janji manis mereka. Kereta terbengkalai lama di bengkel bahkan ada sesetengah longkai menghantar kenderaan ditunda ke bengkel yang ibaratnya ‘kedai potong’ selain enggan membayar saman.
Tidak hairanlah jika ada di kalangan mereka yang berebut-rebut serta bertindak memaksa pemilik kenderaan sehingga adakalanya membawa kepada pergaduhan. Malah ada juga di kalangan longkai yang sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan kemalangan atau kerosakan terancang berlaku di sesebuah kawasan.
Bagaimanapun, kedatangan pantas trak tunda dalam menawarkan perkhidmatan kadangkala tidak melibatkan sebarang tipu helah, malah lebih kepada maklumat awal pihak bengkel mahupun longkai yang kebetulan berada di kawasan terbabit.
Pemilik kenderaan tidak harus cepat panik. Siasat terlebih dahulu bengkel pilihan longkai sekiranya kenderaan mereka rosak teruk. Jika pemilik kenderaan waswas dengan bengkel cadangan longkai, hubungi pihak insurans terlebih dahulu bagi memastikan bengkel tersebut adalah bengkel panel di bawah syarikat insurans.
No comments:
Post a Comment