Thursday, May 5, 2011

Etika Menziarah Pesakit

serenemaklong.blogspot.com 

Sekembalinya saya dari Hospital Serdang tengah hari tadi selepas menziarahi seorang anak saudara yang diserang demam denggi, saya terfikir betapa manis dan indahnya hidup bermasyarakat.

Islam melakarkan hak pergaulan yang membabitkan anggota masyarakat dengan cara terperinci, diambil kira ketika sihat dan sakitnya, diambil peduli tatkala dia memerlukan, diberi perhatian keadaan baiknya sewaktu hidup dan ketika dia sudah meninggal dunia.Kehalusan sikap yang dicirikan dalam etika pergaulan mampu menghasilkan keharmonian dan semangat kesejahteraan sesama manusia.

Apabila ada anggota masyarakat yang sakit, penderitaannya turut dirasai oleh keluarga dan jiran tetangga. Kerana itu Rasulullah saw amat menganjurkan supaya umatnya menziarahi orang sakit.

Dalam tempoh kunjungan, setiap ucapan ditapis dahulu agar hati pesakit tidak tersinggung. Penziarah menghulurkan rasa simpati pada pesakit dan memahami bahawa pesakit perlu berehat. Justeru dia tidak harus dihujani dengan banyak soalan. Penziarah  patut memastikan bahawa tempoh ziarahnya singkat tetapi penuh bermakna.

Kedatangan penziarah mengingatkan pesakit bahawa dia tidak menderita berseorangan. Penziarah menjabat tangan pesakit, mengusap bahunya sambil membisikkan doa agar dia cepat sembuh, meyakinkan dia bahawa dalam kesukaran rohani ada keluasan, dalam kepayahan jasmani ada kelapangan.

Dengan kepekaan kita menziarahi pesakit, akan terbentuklah ikatan persaudaraan. Inilah kemanisan hidup bermasyarakat yang kita dapat wariskan kepada generasi akan datang.

Ganjaran menziarahi pesakit sungguh besar, seperti yang diungkapkan oleh sabda Rasulullah s.a.w:
Sesiapa yang menziarahi orang sakit, dia duduk dalam kebun syurga sehingga apabila dia bangkit daripadanya, dia diwakili oleh 70,000 malaikat yang meminta ampun baginya sehingga malam.

No comments:

Post a Comment