Monday, May 23, 2011

Bunga Raya



serenemaklong.blogspot.com

Bunga Raya atau lebih dikenali sebagai Hibiscus yang menjadi bunga kebangsaan Malaysia sebenarnya berasal dari China. Ia adalah daripada keluarga Malvaceae yang mempunyai 300 spesis, termasuk jenis hiasan, sayuran, tumbuhan herba dan pokok hutan. Tabiat dan ukurannya berbeza mengikut jenis pokok sama ada herba, renek atau saka.

Daunnya bergerigi di tepi dan berwarna hijau tua berkilat tumbuh berselang-seli di dahan. Ada juga daun yang berwarna putih, merah jambu bercampur putih susu dan merah.

Bunganya pula bergaris pusat 10 hingga 15 sentimeter dan warna merah paling banyak didapati. Ia menghasilkan tiga bentuk susunan kelopak, sama ada satu, dua atau banyak lapisan. Antara spesis paling popular ialah rosa sinensis, esculantus, tiliaceaus dan syriacus. Namun kini hasil kacukan dua spesis berjaya menghasilkan pelbagai bentuk, warna dan tabiat bunga serta daun, antaranya Pink Wings, Norma dan Hawaian Girl.

Bunga raya turut diguna sebagai bahan gubahan untuk menyerikan majlis, selain berfungsi dalam bidang perubatan. Misalnya akar Hibiscus rosa sinensis jenis merah atau putih bertindak sebagai penawar racun,. Dalam industri pula, ia diguna untuk membuat syampu. Ada juga spesis yang boleh dimakan sebagai sayuran iaitu Hisbiscus esculentus (bendi).

Pembiakan pokok dilakukan secara biseksual. Organ pembiakan jantan ialan stamen manakala betina daripada stigma hingga ovari. Biji benih terhasil daripada pendebungaan. Di Malaysia, proses pembiakan banyak dilakukan secara vegetatif, iaitu melalui keratan batang, cantuman mata tunas, tut dan baji. Ia boleh ditanam di dalam pasu, tetapi lebih sesuai di tanam di atas tanah supaya dapat membesar dengan sempurna sebagai pokok renek.

Dalam melakukan pemilihan pikok yang hendak ditanam, terlebih dahulu pastikan jenisnya dan pilih pokok yang sihat serta segar dengan bentuk seimbang, daun dan dahan tidak diserang penyakit serta serangga dan tanah tidak kering serta akarnya sihat. Kebanyakan anak pokok yang dijual asalnya daripada keratan, tut atau baka cantuman.

Keperluan
  • Pancaran matahari sepenuhnya
  • Tekstur dan saliran tanah yang baik
  • pH tanah 6 hingga 6.7
  • Bahan organik secukupnya
  • Pembajaan seimbang supaya menghasilkan jumlah dan mutu bunga memuaskan
  • Kadar nitrogen yang terlalu banyak atau sedikit akan menjejas pengeluaran bunga
 Fungsi
  • Bentuk padat yang banyak cabang dan berkanopi sesuai sebagai pokok pagaran
  • Bentuk terbuka dengan sedikit daun sesuai untuk memberi teduhan kepada tanaman lain
  • Bentuk arah ke atas dengan ketinggian 1.5 meter sesuai sebagai pokok teduhan.
  • Bentuk rendah dan berkanopi padat dengan cabang sisi sesuai sebagai pokok hiasan renek. Bagi memperolehi bentuk ini, proses pemangkasan perlu dilakukan dengan memotong bahagian tertentu, bertujuan mengawal ukuran dan bentuk  mengikut yang dikehendaki, membuang dahan tidak perlu, menggalak pengeluaran bunga dan mengurangkan proses transpirasi yang berguna ketika proses pemindahan pokok. Alat pemangkasan yang diperlukan ialah pemotong dahan, gunting ranting, gergaji manual, pisau pencakuk dan mesin gergaji. Masa paling sesuai untuk melakukan kerja ini ialah pada akhir musim kemarau dan selepas musim bunga. 
 Penyediaan Tanah
Tanah yang sesuai diguna ialah lom. Pastikan tapak tanaman tidak mempunyai air yang bertakung dan kawasannya terbuka serta mendapat cahaya matahari sepenuhnya untuk menggalakkan pengeluaran bunga yang cantik dan indah. Ukuran lubang yang sesuai ialah 100 x 100 x 100 sentimeter dan mengandungai tanah yang diisi semula dalam lubang bercampur bahan organik seperti tanah gambut atau baja asli sebanyak 40 hingga 50 kilogram bagi setiap lubang. Baja asas fosfat seperti Double Superphosphate dan kapur (Ground Magnesium Limestone) sebbnayak 100 hinggga 150 gram perlu dicampur bersama tanah dan bahan.

Penanaman
Pastikan paras tanaman yang betul untuk mengelak pokok tertanam terlampau dalam atau cetek. Isi tanah yang ada pada pokok, kemudin rata dan padatkan. Pokok yang baru ditanam perlu dipancang dan diikat untuk melatihnya hidup tegak dan lurus. Siram pokok sehingga tanah di sekelilingnya basah sebelum disungkup dengan rumput kering atau bahan organik lain untuk mengekalkan kelembapan tanah.

Pembajaan
Untuk mengekalkan kesegaran dan kesihatan pokok, pelbagai jenis baja boleh diguna seperti baja campuran atau baja organik yang boleh dibeli di kebanyakan tapak semaian dan kedai. Baja campuran atau baja kimia yang selalu diguna mempunyai peratus kandungan unsur lebih tinggi berbanding baja organik seperti NPK 15:15:15, 12:12:17+2 atau 21:21:21 yang lebih mudah diserap pokok. Untuk menggalakkan atau membantu pokok berbunga, baja 12:12:17+2 atau 10:20:20 diguna pada kadar sama. Bagi baja organik, selalunya peratus kandungan unsur lebih rendah seperti 8:8:8 atau 10:10:10 tetapi ia membekalkan unsur secara perlahan-lahan dan dalam tempoh yang cukup lama.

Kawalan penyakit dan serangga
Pokok ini senang diserang penyakit atau serangga. Oleh itu, kawalan kebersihan perlu diberi perhatian dengan membuang segala sampah sarap. Kadar suhu, naungan dan kelembapan juga perlu dikawal. Serangan penyakit selalu disebabkan oleh kulat, bakteria atau virus dan serangan hebat lazimnya berlaku pada musim hujan apabila keadaan terlampau lembap. Penyakit seperti mati rosot, hawar, bintik daun dan reput akar juga boleh menyerang. Tindakan yang perlu diambil ialah mencantas dan membuang bahagian terkena serangan sebelum disembur racun kulat seperti benomyl, dithane, thiram atau captan.Serangga seperti hamama, kutu terip, koya dan kutu daun juga boleh menyerang dan ia sering terdapat di bawah daun serta pucuk hijau untuk menyorok daripada cahaya matahari. Racun serangga yang selalu diguna bagi mencegahnya ialah malathion dan diazinon.

Pemangkasan
Cantas dari semasa ke semasa untuk menentukan bentuk yang dikehendaki, di samping menggalakkan berbunga atau mengeluarkan daun yang segar. Dahan yang lemah, berpenyakit dan patah juga perlu dicantas. Cantas hendaklah dilakukan di atas tunas atau ruas. 

No comments:

Post a Comment