Thursday, May 26, 2011

Asplenium nidus - Pokok Langsuir



serenemaklong.blogspot.com

Fizikal daun yang lebar kira-kira 20cm dan ukuran panjang pula kira-kira 150cm, Asplenium nidus merupakan sejenis paku-pakis kegemaran ramai peminat seni taman dan lanskap.

Penanaman secara berkelompok, berderet ataupun digantung dalam kuantiti yang banyak memberikan kesan rimbun yang cemerlang pada taman. Ada pemilik kediaman yang menjadikan paku-pakis jenis epifit ini sebagai penanda sempadan kediaman atau ruang-ruang tertentu di dalam taman.

Sesetengah orang mengaitkan Asplenium nidus dengan perkara-perkara mistik, hantu dan sebagainya, namun ia tetap menjadi pilihan peminatnya. Turut dikenali sebagai Bird’s nest fern, pokok ini dikatakan berasal dari kawasan tropika Afrika, Asia dan juga Pasifik. Ia tergolong sebagai tanaman suai matahari (sun-loving plant) dan suai redup (shade loving plant).

Ia tahan lasak dan tidak memerlukan penyiraman setiap hari. Selain daripada rupa bentuk daun seperti daun pisang, ciri-ciri nyata lain ialah sporanya terletak pada urat dan di bawah daun dengan sporangia tertutup. Apabila kering, daunnya yang disebut frond akan membentuk sarang yang menumpang pada cabang-cabang pokok. Struktur ini bersifat menyimpan air dan tumbuh-tumbuhan jenis epifit lain boleh tumbuh padanya. Daun yang keluar pada bahagian tengah pokok tersusun rapat dan dibahagikan dengan dua urat keras warna hitam.

Paku pakis ini biasa ditemui hidup menumpang pada dahan pokok di kawasan hutan tanah rendah. Ada juga pendapat yang mengatakan Asplenium nidus saling berkaitan dengan Asplenium rutamuraria, sejenis paku-pakis yang tumbuh di celah rekahan tembok usang. Asplenium nidus perlu ditempatkan di kawasan separa teduh, lembap dan ia memerlukan air bersuhu bilik atau air paip. Cara menyiramnya ialah dengan menyiram di bahagian tengah tanaman itu.   

Daun bertukar perang mungkin disebabkan udara kering atau suhu terlalu rendah. Segera buang daun yang kuning dan kering dengan mengerat di bahagian pangkal daun. Pertumbuhan yang perlahan adalah tanda bahawa akarnya bermasalah. 

Paku-pakis ini bebas daripada serangan serangga perosak kerana tiada satu pun serangga perosak yang gemarkannya. Cara pembiakan paling mudah ialah dengan menggantungkannya di tanah lembap. Ia akan mua bercantum bila sporanya jatuh ke tanah lembap tadi, Namun cara ini mengambil masa yang lama.

1 comment: