Wednesday, August 23, 2017

Melepasi Titian Sirat





Dalam sebuah hadis yang panjang riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dan diletakkan sebuah jambatan di atas neraka jahannam, lalu aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di atasnya. Rasul-rasul berdoa pada hari itu : ‘Ya ALLAH, selamatkan, selamatkan.’ Di kanan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa’dan. Pernahkah kalian melihat duri pokok Sa’dan?” 

Para sahabat menjawab, “Pernah, wahai Rasulullah."

Baginda melanjutkan : “Sesungguhnya pengait itu seperti duri pokok Sa’dan, namun hanya ALLAH yang tahu besarnya. Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatannya di dunia."

Suasana pada saat itu pastinya mengerikan. Suara teriakan, jeritan meminta tolong, tangisan, dan ketakutan terdengar dari pelbagai arah. Lebih mengerikan suara gemuruh api neraka dari bawah sirat yang sedia menelan orang terjatuh ke dalamnya. Tidak henti-henti Rasulullah s.a.w. dan nabi-nabi yang lain termasuk juga malaikat berdoa untuk keselamatan manusia,

"Ya ALLAH, selamatkan, selamatkan!"

Setiap muslim wajib menjadikan kepercayaan kepada perkara ini sebagai aqidahnya. Berkenaan dengan sifat titian ini, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Ia ialah sebuah jalan yang sangat licin, kaki sulit sekali berdiri di atasnya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim daripada Abu Said Al-Khudri)

Dalam hadis Ahmad daripada Aisyah r.h.a., Rasulullah s.a.w.. menyifatkan titian itu adalah lebih tipis daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang.

Sirat di akhirat ini wujud hasil daripada titian (jalan) hidup yang kita pilih selama tinggal di dunia. Oleh sebab itu, siapa yang memilih jalan ALLAH, sambil bepegang teguh dengan syariat Islam, maka sirat di akhirat ini akan mudah dilalui untuk sampai ke syurga idaman.

Sebaliknya, siapa yang enggan melalui jalan ALLAH ini, lalu memilih jalan hidup yang bebas daripada aturan halal-haram, maka hari itu sirat yang akan dilaluinya menjadi sangat sempit dan sukar dilalui. Golongan ini akan tergelincir dari titian lalu jatuh melayang-layang ke dalam neraka jahannam selama-lamanya.

Imam Abu Tahir al-Qazwini berkata : "Setiap orang yang biasa berjalan di titian agama, maka ia akan sangat mudah melintasi sirat di akhirat. Dan sesiapa yang tidak biasa melaluinya, maka ia akan menemui kesulitan berjalan di atasnya, kakinya akan tergelincir dan ia akan menyesal selama-lamanya."

Rasulullah s.a.w.. menyebut beberapa amalan yang dapat menjamin keselamatan seseorang ketika melintas di atas sirat. Antaranya adalah :

1. Banyakkan bersedekah

2. Melazimkan diri hadir ke masjid

Sebaliknya, beberapa amalan buruk dapat merencatkan kelancaran perjalanan seseorang di atas titian sirat. Amalan itu antara lain ialah :

Membuat tuduhan dusta kepada seorang Mukmin

Abu Daud meriwayatkan daripada Muaz bin Anas al-Juhani, sabda Rasulullah s.a.w. : “Sesiapa yang menjaga seorang Mukmin daripada gangguan munafik, maka ALLAH akan mengutus seorang malaikat untuk menjaga tubuhnya daripada api neraka jahannam, dan sesiapa yang membuat tuduhan (dusta) kepada seorang Mukmin untuk memburukkan namanya, maka ALLAH akan menghentikan langkahnya di atas sirat hingga ia bersedia melepaskan tuduhan tersebut."

*Termasuk membuat tuduhan dusta ialah menyokong tuduhan tersebut dan menyebarkannya dalam kalangan masyarakat untuk merosakkan nama baik atau reputasi orang yang dituduh. Justeru, berhati-hatilah dalam menapis tiap berita dan cerita yang kita terima. Lebih-lebih lagi bila berkaitan dengan dosa seperti zina dan liwat. Kita memohon agar ALLAH membersihkan umat kita daripada sikap yang tidak sihat ini.

Betapa dahsyatnya perbicaraan di hari akhirat , semua amalan akan dihisab dengan teliti dan halus dan tidak ada satu amalan pun yang tertinggal tidak dihisab melainkan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T. 

Terdapat 7 sekatan dan pemeriksaan terhadap amalan manusia. Salah satu tersangkut maka perjalanan tidak akan dapat diteruskan menuju syurga Allah S.W.T. Oleh itu beramalah dengan ikhlas untuk mendapat rahmat dan kasih sayanag Allah S.W.T. dalam perjalanan memasuki syurga-Nya.

[Sumber Facebook]

No comments:

Post a Comment