Monday, August 28, 2017

Dinding Yang Hilang





Media sosial telah meruntuhkan banyak dinding di dalam kehidupan kita.

Dinding sinonim dengan 'halangan', dan jika dijadikan metafora, biasa disebut dengan konotasi yang negatif. Meruntuhkan dinding boleh kedengaran positif jika ditafsirkan meruntuhkan sesuatu yang menghalang kelancaran kemaraan kita menempuh satu-satu perjalanan.

Dinding juga punya makna berbeza. Tiada siapa selesa duduk di rumah tanpa dinding. Dinding melindungi penghuni rumah dari mata-mata ramai, memberikan privasi, sekaligus memberikan kita kerehatan setelah seharian menempuh kehidupan, bergaul dengan orang ramai.

Hari ini, beberapa dinding di dalam kehidupan kita telah dirobohkan.

Internet antara jentera utama yang meruntuhkan dinding tersebut. 

Kemajuan teknologi maklumat menjadikan para penguasa korup tidak senang duduk. Urusan-urusan hitam yang selama ini tersembunyi di balik 'dinding', jauh dari mata insan yang lain, hari ini mudah terbongkar. Sebentar sahaja maklumat sampai kepada netizen, dan mulalah terkapai-kapai pemimpin korup mencari alasan dan dalil berkenaan tindakannya itu. 'Dinding' telah dirobohkan. Jika dahulu maklumat dikawal oleh mereka melalui surat khabar dan televisyen, tetapi hari ini internet berjaya merobohkan cengkaman tersebut. Positif.

Media sosial tambah membawa kemajuan ini ke hadapan. Berhubungan dengan rakan kini tidak memerlukan telefon atau berziarah ke rumah. Cukup sekadar buka Facebook. Boleh bermesej, boleh 'menziarahi' akaun sahabat untuk melihat perkembangannya yang terkini. 'Dinding' penghalang yang membataskan perhubungan selama ini telah berjaya dirobohkan oleh media sosial.



Namun, antara dinding yang juga hilang seiring kemajuan ini ialah privasi, adab, tatasusila.

Manusia tidak lagi menyimpan hal-hal rumahtangga di dalam dinding rumah mereka. Mereka meletakkannya di internet. Hari ini makan apa, hari ini jalan pergi mana. Bahkan hari ini pakai baju apa, jenama apa, beli di mana pun kita beritahu. Kemudian hal ini meleret sehingga apabila ada pergaduhan, salah faham, perbezaan pendapat, terasa hati antara ahli keluarga, suami isteri, bahkan apa yang dilihat turut dikongsi dan menjadi tular di media sosial. 

Orang yang melihat pula, gatal tangan. Tidak dapat mengawal dirinya untuk tidak masuk campur. Mahu juga meletakkan komen, walhal perkara yang berlaku tidak ada kena mengena dengannya. Jika hal politik yang melayang di newsfeed, maka jadilah dia ahli politik segera. Jika hal rumahtangga orang yang melintas, jadilah dia pakar rumahtangga. 

Tidak lagi difikir dua tiga kali sebelum menurunkan komen, di akaun siapakah yang dia komen, apakah patut dia menurunkan komen, apakah komennya bermanfaat? Apakah dia benar-benar tahu apa yang berlaku? Apakah dia punya autoriti akan hal tersebut? Tidak dipedulikan. Asalkan boleh komen. Alang-alang komen, buat komen ada 'punchline' sikit, moga-moga komen dapat banyak 'like'.

Dinding sudah roboh. Maka jadilah apa yang terjadi. Masyarakat hilang tatasusila.

Namun hendak ditegur juga tidak kena. Kerana ia seakan menafikan sisi-sisi positif kemajuan ini.

Apakah ini realiti hari ini yang perlu kita terima?

Sebahagian dinding penghalang berjaya kita robohkan untuk menambah kesenangan urusan hidup, namun pada masa yang sama, untuk mencapai kesenangan urusan hidup tersebut, kita mestilah rela merobohkan sebahagian dinding yang selama ini menjadikan kita aman.

Hari ini privasi, adab kesopanan, tatasusila sebagai insan, mungkin telah hampir menjadi cerita lama. Menjadi 'rare'.

Mungkin adab-adab yang indah, luhur kesopanan yang tinggi, akhlak yang mulia, sikap malu dan menjaga yang diterapkan oleh Islam, benar-benar semakin asing di era ini.

Rasulullah SAW bersabda: "Di antara (tanda) kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya." (Hadith Riwayat Tirmidzi).

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka hendaklah dia berkata baik atau hendaklah dia diam." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

"Islam datang dalam keadaan yang asing, akan kembali pula dalam keadaan asing. Sungguh beruntunglah orang yang asing.” (Hadith Riwayat Muslim).

Semoga kita antara yang beruntung menjadi yang asing itu.

Mungkin banyak dinding telah roboh. Tetapi semoga dinding keimanan kita tidak sesekali tergugah dan rapuh.

Muhasabah.

[Sumber CNP diperolehi menerusi FB Ahmad Ezry]

No comments:

Post a Comment