Thursday, August 3, 2017

Impak Hebat Selawat





[Ustazah Nor Hafizah Musa berkongsi cerita yang sangat istimewa.]

Satu hari, beliau dijemput memberi ceramah di Pusat Pemulihan Remaja.Staf di sana dah pesan siap-siap,
"Budak-budak ni memang perangai keras kepala, Buat bodoh, Tak hormat orang, Hatta ustaz ustazah pun. Ustazah agak berdebar, Tapi ustazah doa banyak-banyak agar Allah permudahkan sesi."

Memasuki dewan pusat tersebut, suasana ternyata berbeza dengan ceramah di tempat lain. Dipenuhi anak remaja, Dengan kelakuan yang macam-macam rupa. Gaya semua tak ada yang menggambarkan mereka teruja dengan sesi ceramah itu.

Kaki atas kerusi, muka pusing belakang, Umpama tiada penceramah di depan, Masing-masing memang tak menyembunyikan perasaan 'loya' dengan sesi ceramah, lebih-lebih lagi yang datang adalah penceramah perempuan.

Ustazah beri salam,  Sepi sekali suasananya. Ustazah cuba beramah mesra, namun hambar. Ustazah terasa sebak di dada. Hilang kata-kata.

Lantas Allah beri ilham.

Ustazah minta semua berselawat. Namun semua masih menyepi. Kali ini suara ustazah agak berbunyi tegas.

"Mungkin kamu tak suka ustazah, mungkin kamu tak suka di sini. Ustazah tak kisah kalau kamu tak suka ustazah, Tapi ustazah marah kalau kamu tak hormat Rasulullah. Kamu kena ingat Rasulullah sayangkan kamu. Dia kekasih Allah. Allah kata siapa yang berselawat ke kekasih-Nya, dia akan dicintai Allah dan Rasul-Nya, Allah pun sayang Rasulullah, Kita ni apatah lagi kena sayangkan Baginda."

Nada suara ustazah lancar dan tegas sekali.

Waktu itu, masing-masing mula mengubah posisi, mengadap ke hadapan.

Ustazah mulakan selawat, Perlahan-lahan diikuti remaja-remaja itu, Dari seorang ke seorang, Selawat bergema di dalam dewan. Dan waktu itu, Allah tunjukkan kemuliaan dan keberkatan selawat tu 'on the spot'. Sebab Allah sudah janji, dengan selawat, akan dikeluarkan kita dari kerumitan, kesukaran, kepayahan. Bagaimana keadaan anak-anak tadi yang penuh dengan benci,meluat, tak suka, kini bertukar menjadi sayu, tenang.

Dan akhirnya, sesi ceramah tadi berlangsung dengan hebat sekali. Allah muliakan dan berkati sesi itu. Dapat dilihat raut wajah anak tadi selepas berselawat, Tenang, malah ada yang sayu sehingga mengalir air mata.

Besarnya rahmat selawat, Menjadikan hati sekeras batu, Mengalirkan airmata deras dan laju. Malah, anak-anak itu terus mendekati ustazah, Meluahkan perasaan masing-masing tak semena-mena. Walaupun sesi sudah berakhir, mereka minta lagi masa tambahan, Minta lagi sesi untuk bersama ustazah.

Staf di sana terkejut, Bagaimana ustazah dapat melembutkan hati mereka, padahal mereka sukar sekali diuruskan.

Di sini kita belajar bahawa Selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW bukan benda remeh. Selawat itu memberi 
Keamanan,
Ketenangan,
Keberkatan,
Kebahagiaan.

Cintailah kekasih Allah, kerana Allah mencintai Baginda seagung-agungnya.

Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda : 

“ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.” [Sila rujuk HR An-Nasaie-1271 ]

[Nota : kupasan dan rumusan dari ceramah Ustazah Nor Hafizah Musa.]

No comments:

Post a Comment