Friday, August 18, 2017

Kalungku Hilang



Sayidatina Aisyah menceritakan: “Kami bersama Rasulullah dalam salah satu musafir. Setibanya di Baida’ atau Zat al-Jaisy, kalungku hilang. Rasulullah pun berhenti untuk mencari. Sahabat yang lain pun turut sama mencari. Ketika itu mereka tidak membawa bekalan air. 

Kemudian ada orang pergi mengadu kepada Abu Bakar: “Tengok, apa yang Aisyah buat! Dia menyebabkan Rasulullah dan orang lain berhenti sedang mereka tidak ada air.” 

Lantas Abu Bakar datang kepadaku pula. Pada masa itu Rasulullah meletakkan kepala Baginda di atas pahaku. Baginda tertidur. 

Abu Bakar berkata: ”Awak telah menahan Rasululah dan orang lain di tempat tiada air sedangkan mereka tidak membawa air!” 

Abu Bakar membebeliku macam-macam kemudian memukul pinggangku. Apa yang membuatku tidak bergerak hanyalah kerana kepala Baginda di atas pahaku. 

Kemudian Rasulullah tersedar menjelang subuh. Baginda tidak mendapati air. Lalu Allah menurunkan ayat tayammum, mereka pun bertayammum.

Usaid bin Hudair berkata: ‘Ini bukanlah keberkatan yang pertama kamu wahai keluarga Abu Bakar!’

Kemudian kami bangunkan unta tungganganku, ternyata kami temui kalung tersebut di bawahnya.” (Riwayat al-Bukhari)

...............................
ReSOLUSI

1. Suami atau isteri hilang barang, tertinggal, tidak ingat letak di mana dan seumpamanya ialah kerenah hidup bersuami isteri yang lumrah. Sering kali kejadian sebegini memetik suis emosi negatif, maka berpesanlah pada diri supaya sabar. Tidak kiralah puncanya daripada kecuaian si dia, apa lagi jika disebabkan hal luar kuasanya.

2. Suami isteri hendaklah ikhlas turut membantu pasangan mencari barang yang hilang, demikian sunnah Nabi, bukannya mengomel dan membebel kepadanya. Jika tidak mahu membantunya, jangan pula menambah kesedihan hatinya.

3. Ada kala musibah kehilangan barang pasangan berakhir dengan suatu yang baik. Maka segeralah hamburkan lafaz kegembiraan kepadanya pasangan sebagaimana kita mudah melepaskan kemarahan kepadanya sebelum ini.

.......................

Nota:  
i. Ayat tayamum ialah ayat 37 surah al-Nisa’.
ii. Hadis ini dimuatkan dalam kitab tayamum dan kitab tafsir dalam Sahih al-Bukhari.

[Sumber; FB Ustaz Muhammad Luqman Makhtar, editor Majalah Solusi]

No comments:

Post a Comment