Monday, August 14, 2017

Alkisah Muwatta’ Imam Malik






Kitab Muwatta’, hasil tangan Imam Malik pernah menjadi kitab paling dikagumi ulama suatu ketika dulu. 

Imam Abdul Rahman bin Mahdi berkata: “Kita tidak tahu pun satu kitab dalam Islam selepas kitabullah yang lebih sahih daripada Muwatta’ Malik.”

Imam al-Syafii pula pernah berkata: “Tidak ada kitab selepas kitabullah yang lebih bermanfaat daripada Muwatta Malik rahimahullah!”

Semasa Imam Malik hendak menulis Muwatta’, sudah ramai ulama menulis kitab dengan nama muwatta’. Bahkan ketika itu boleh dikatakan semua ulama besar di Madinah punya kitab muwatta’ masing-masing. 

Lalu ada orang berkata kepada beliau: “Mengapa engkau menyibukkan diri melakukan perkara yang sudah dibuat orang lain?” Dalam riwayat lain pula orang bertanya, “apa faedah awak mengarangnya?”

Lalu kata-kata keramat beliau keluar daripada mulut beliau:

ما كان لله بقي
“Apa yang dibuat kerana Allah akan kekal!”*

Sungguh, pada hari ini umat mengenali hanya Muwatta’ Imam Malik.

Semoga setiap jasa dan sumbangan ikhlas yang kita buat kekal sebagaimana kekalnya Muwatta’ Imam Malik. Amin.

Kisah asal terdapat dalam al-Tamhid, Ibn Abdil Barr juga dalam Tadrib al-Rawi, Imam al-Suyuti.

[Sumber; FB Ustaz Muhammad Luqman Makhtar, editor Majalah Solusi]

No comments:

Post a Comment