Wednesday, May 4, 2016

Ziarah Ke Makam Rasulullah s.a.w.


Makam (pusara) Rasullullah s.a.w. terletak di sebelah Timur Masjid Nabawi. Di tempat ini dahulu terdapat dua rumah, iaitu rumah Rasulullah s.a.w. bersama Aisyah dan rumah Ali dengan Fatimah. Sejak Rasulullah s.a.w. wafat pada tahun 11 H (632 M), rumah itu terbahagi dua. Bahagian Selatan untuk makam Rasulullah s.a.w. dan bahagian Utara untuk tempat tinggal Aisyah. Sejak tahun 678 H. (1279 M) di atasnya dipasang Kubah Hijau (Green Dome). Dan sampai sekarang Kubah Hijau tersebut tetap ada. Tepat di bawah Kubah Hijau itulah lokasi bernama hujrah al-musyarrafah atau kamar yang dimuliakan di mana jasad Rasullullah s.a.w. dimakamkan oleh keluarga Baginda. Di situ juga dimakamkan kedua sahabat, Abu Bakar (Khalifah Pertama) dan Umar (Khalifah Kedua)


Ini adalah pintu ke makam Rasulullah s.a.w.yang disaluti emas. Jemaah haji sentiasa menyempatkan diri untuk berziarah ke makam ini. Berziarah ke makam Rasulullah s.a.w. itu sunat hukumnya. Rasulullah s.a.w. sendiri bersabda:

مَنْ جَائَنِي زَائِرًا لَمْ تَدْعُهُ حَاجَةٌ اِلاَّ زِيَارَتِي كَانَ حَقًّا عَلَى اللهِ تَعَالَى أنْ أكُوْنَ شَفِيْعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

"Siapa saja yang datang kepadaku untuk berziarah, dan keperluannya hanya untuk berziarah kepadaku maka Allah SWT memberikan jaminan agar aku menjadi orang yang memberi syafa’at (pertolongan) kepadanya di hari kiamat nanti." (Hadis Riwayat Darul Quthni)

Dari Ibn 'Umar RA. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang melaksanakan ibadah haji, lalu berziarah ke makamku setelah aku meninggal dunia, maka ia seperti orang yang berziarah kepadaku ketika aku masih hidup.” (Hadis Riwayat Darul Quthni)


Rasulullah s.a.w. melarang umat Islam menjadikan makam beliau sebagai tempat berpesta, atau sebagai berhala yang disembah. Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu jadikan kuburanku sebagai tempat perayaan, dan janganlah kamu jadikan rumahmu sebagai kuburan. Maka bacalah selawat kepadaku. Kerana selawat yang kamu baca akan sampai kepadaku di mana saja kamu berada.” (Musnad Ahmad bin Hanbal: 8449)

Maka, berziarah ke makam Rasulullah SAW tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan sangat dianjurkan kerana akan mengingatkan kita akan jasa dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. sekaligus menjadi salah satu bukti menunjukkan kecintaan kita kepada beliau.

No comments:

Post a Comment