Saturday, May 7, 2016

Bermacam Peringatan Sebelum Lupa


• Orang yang paling sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah dia mempunyai kerajaan sebesar kerajaan Nabi Sulaiman a.s.
• Orang yang paling kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang dia ada dan tidak lupa dengan kenikmatan dunia yang sementara ini
• Orang yang paling miskin adalah orang yang tidak puas dengan nikmat yang dia ada dan sentiasa bekerja untuk menambah hartanya
• Orang yang paling rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan
• Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik dan terpuji.
• Orang yang mempunyai rumah paling sempit adalah orang yang matinya tidak membawa amal-amal kebajikan lalu kuburnya menghimpitnya….

Muhasabah diri


Tiada hadis sahih yang menceritakan kelebihan orang yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat. Pun begitu orang yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat menunjukkan dia memperoleh husnul khatimah (pengakhiran yang baik) denga syarat dan juga berdasarkan kepada mafhum nas-nas yang banyak. Antaranya ialah:

• Mati dalam keadaan Islam
• Mati dalam keadaan beriman
• Tidak mati dalam keadaan melakukan maksiat

Walaubagaimanapun, hari Jumaat adalah sebaik-baik hari sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith oleh Abu Hurairah r.a.bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيرُ يومٍ طَلَعتْ عليه الشمسُ يومَ الجُمُعةِ ، فيه خُلِقَ آدمُ ، وفِيه أُدْخِلَ الجنةَ ، وفيه أُخْرِجَ مِنها ، ولا تَقومُ الساعةُ إِلَّا في يومِ الجُمعةِ

Maksudnya: “Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Adam AS. Pada hari itu juga dimasukkan ke dalam Syurga dan pada hari itu jugalah dikeluarkan daripadanya (Syurga) dan tidak akan berlaku Kiamat melainkan pada hari Jumaat”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 1411]

Selain itu juga, hari Jumaat mempunyai satu masa yang istimewa di mana pada waktu tersebut Allah SWT akan memakbul dan memustajabkan doa hamba yang berdoa kepada-Nya. Ini disebut di dalam hadith yang sahih, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika baginda SAW menceritakan akan hari Jumaat:

فيه ساعةٌ، لا يُوافِقُها عبدٌ مسلمٌ، وهو قائمٌ يُصلِّي، يَسأَلُ اللهَ تعالى شيئًا، إلا أعطاه إياه

Maksudnya: “Pada hari Jumaat itu ada satu masa (waktu), tidaklah seorang hamba yang muslim itu menunaikan solat lalu dia berdoa memohon sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang dimohonkan itu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 883]


Penggunaan tongkat termasuk di dalam sunnah al-jibiliyyah yang berkait dengan adat sesuatu tempat atau masyarakat dan tongkat boleh digunakan bagi sesiapa yang berhajat padanya. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh mempercayai bahawa terdapat fadhilat atau kelebihan-kelebihan tertentu padanya (tongkat tersebut). Tambahan pula, Nabi SAW menggunakan tongkat berdasarkan beberapa sebab atau keadaan, antaranya ialah:

• Ketika Baginda SAW berkhutbah. Berdasarkan sebuah hadith yang sanadnya hasan (baik):

شَهِدْنَا الْجُمُعَةَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَقَامَ مُتَوَكِّئًا عَلَى عَصًا
Maksudnya: “Kami telah menyaksikan Jumaat bersama Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW berdiri dalam keadaan berpegang pada tongkat”. [Lihat: Subul al-Salam, 1:418]

• Untuk dijadikan penghadang (sutrah) ketika bersolat. Di dalam sahih al-Bukhari dinyatakan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifah:

فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ إلى العَنْزَةِ
Maksudnya: “Maka Nabi SAW solat dua rakaat menghadap tongkat”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5340]

Selain itu juga, antara dalil yang boleh digunakan untuk menggunakan tongkat adalah berdasarkan firman Allah SWT:
وَلِيَ فِيهَا مَآرِبُ أُخْرَىٰ
Maksudnya: “Dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”. [Taha:18]

Kebanyakan ahli tafsir menafsirkan perkataan “مآرب” dengan hajat, keperluan atau manfaat. Imam al-Baghawi menyatakan yang dimaksudkan dengan maarib (مآرب) ini adalah apa yang digunakan padanya (tongkat) ketika bermusafir seperti membawa bekalan makanan, mengambil air dari perigi, membunuh ular, memerangi binatang buas, berteduh ketika berehat dan lain-lain lagi. [Lihat: Tafsir al-Baghawi, 3:259]

Telah berkata Imam al-Hasan al-Basri: “Terdapat padanya (penggunaan tongkat) enam sifat:

• Sunnah para anbiya’.
• perhiasan bagi orang yang soleh.
• senjata ke atas musuh.
• perlindungan bagi orang yang lemah.
• menyedihkan orang munafiq.
• menambahkan ketaatan. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 11:188]

Pada kami mungkin juga tongkat boleh mengisyaratkan bahawa seseorang itu sudah tua dan lemah di hadapan yang Maha Esa.

Penutup
Kesimpulannya, Nabi SAW tidak menggunakan tongkat dalam setiap masa dan juga keadaan melainkan dalam keadaan tertentu sahaja. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufiq dan hidayah dalam mengikut sunnah-sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada kita serta dalam masa yang sama menjadikan kita hamba-Nya yang soleh. Amin.

wallahua'lam


[Penerangan dari Mufti Wilayah Persekutuan Drs Zulkifli Al Bakri]

No comments:

Post a Comment