Saturday, January 2, 2016

Mengemis Upah Sendiri

Upah titik peluhnya yang belum dibayar oleh syarikat korporat itu telah mencecah lebih RM 18,000. Sudah puas menulis emel kepada pegawai berwajib di Bahagian Kewangan syarikat berkenaan supaya menyegerakan pembayaran tetapi tidak diberi perhatian serius. Syarikat itu yang berhutang dengannya tetapi kini dia pula yang terpaksa terhegeh-hegeh mengemis bayaran upah sendiri. Kedua-dua pegawai kewangan itu Melayu Islam. Suaminya menyuruh dia mengadu kepada pihak atasan syarikat. Namun dia tidak bersedia berbuat begitu memandangkan bilangan kakitangan Melayu Islam di syarikat itu tidak ramai. Dia khuatir mereka berdua akan diberhentikan. Tentu masa depan mereka gelap nanti. Tambahan pula mereka sudah berkeluarga. Tentu ahli keluarga mereka akan rasa susah untuk meneruskan kehidupan kelak. Dia ingin menuntut upahnya dengan cara paling berhemah, tidak mendatangkan aib kepada sesiapa.
Suatu hari ketika terjaga dari tidur pada jam 04:00 pagi untuk sesi tahajud, dan sesudah melafazkan zikir, tiba-tiba Allah mendatangkan ilham kepadanya supaya menyusun kesemua invois upah itu dalam satu senarai, mencetakkannya dan menghantarnya kepada salah seorang pegawai berkenaan. Lantas, dengan invois yang siap dicetak, dia melangkah ke pejabat syarikat berkenaan. Secara diam-diam diserahkan sampul besar yang sarat itu kepada pegawai tersebut. Ketika meneliti kandungan sampul itu barulah pegawai itu sedar betapa seriusnya tuntutan tersebut. Disebabkan jumlahnya besar, pegawai berkenaan terpaksa membawanya ke pengetahuan ketua bahagian kewangan. Beberapa hari kemudian pengarah projek syarikat mengirimkan emel bahawa kes itu sedang diberi perhatian teliti.
Sebulan selepas aduan diajukan, dia dimaklumkan melalui emel bahawa cek untuknya sudah dimasukkan ke akaun. Demikianlah, apabila mengadu kepada Allah, pertolongan-Nya datang begitu cepat.

No comments:

Post a Comment