Wednesday, January 6, 2016

Ingat Allah Dan Perintah-Nya

Pada setiap malam sebelum tidur, duduk diam dengan tegak sebentar sambil menarik nafas dan hembuskannya perlahan-lahan. Ulang beberapa kali sehingga keadaan terasa damai dan tenang. Kemudian singkap kembali: Dalam sehari ini dari seawal dibangkitkan dari tidur, berapa banyak kali kita ingat kepada Allah S.W.T. dan berapa kali melalaikan-Nya. Boleh jadi tanpa kita sedari hanya sedikit waktu yang diluangkan mengingati Allah. Itupun kalau tidak dengan perintah solat 5 waktu, kita akan jauh terbabas dari mengingati-Nya. Semoga kita segera bangkit dari kelalaian. Perbaiki dengan rasa malu akan amalan yang sedikit sedangkan nikmat yang Allah berikan kepada hamba-Nya sentiasa mengalir mulai dari terbit matahari sehingga terbit kembali pada keesokan hari.
Di dalam Asmaul Husna terdapat nama Allah S.W.T. iaitu Ar-Raqib yang bererti Maha Mengawasi. Allah S.W,T.sentiasa mengawasi perbuatan setiap makhlukNya tanpa pernah lalai sedikit pun, sehingga tidak ada satupun yang luput dari-Nya. Tujuan Allah S.W.T. berbuat demikian ialah membimbing hamba-Nya dari terjerumus ke jalan yang salah. Manusia akan merasa malu dan takut jika mengetahui dirinya diawasi seperti itu. Jadilah seorang hamba yang sentiasa dibanggakan Allah S.W.T. di hadapan para malaikat penghuni langit.
Ketika ini ramai yang menderita akibat kezaliman dari seseorang atau sesuatu kaum. Sakitnya sudah tentu bukan kepalang. Pun begitu, ada berita gembira buat mereka yang sedang dizalimi. Kuatkan keyakinan kepada Allah S.W.T. dan yakinlah bahawa pada hari kiamat nanti akan berlaku hukum balasan setimpal ataupun Qishash. Pada hari itu berdirilah semua hamba-hamba di hadapan Mahkamah Allah S.W.T. yang adil dan tertulis di pintu-Nya bahawa: "Pada hari ini tiap-tiap jiwa diberikan balasan dengan apa yang pernah dilakukan. Tidak ada yang di rugikan pada hari ini bagi orang orang yang sabar. Sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya."
Profesor Dr Muhaya Mohamed pernah berkata: Tiga perkara paling payah hendak dibuat iaitu buat baik pada orang yang buat tidak baik pada kita, menjaga nama orang yang diumpat bila mereka tidak ada, dan mengaku kesilapan.Namun, jika diri kita mampu melakukan ketiga-tiga perkara itu, in sya Allah, Allah akan beri ganjaran yang sangat besar. Seperkara lagi, sentiasalah berdoa mendapat cahaya dalam kubur melalui sedekah dan wuduk. Kaum wanita jagalah aurat dan solat. Bayangkan mati dalam keadaan membuka aurat alangkah ngerinya.
Pernahkah kita menangis kerana takut azab Allah S.W.T.? Pernahkah kita menangis kerana mengasihi Allah S.W.T.? Jika belum…menangislah dengan penuh keinsafan dan tawaduk kerana Allah S.W.T.suka melihat hamba-hamba-Nya menangis di atas dua sebab itu. Tangisan begini akan melembutkan hati yang keras, menguatkan Iman yang rapuh dan ia adalah bukti yang bakal menyelamatkan kita pada hari perhitungan kelak.

No comments:

Post a Comment