Monday, November 16, 2015

Kelebihan Solat Tahajud

Firman Allah S.W.T bermaksud:“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Surah al-Israa’ ayat 79).
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Dzaariyaat ayat15-18).
Dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud,“Hendaklah kamu qiamullail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)
Dari Sayidina Umar Ibnu Khattab, dari Nabi s.a.w bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat di waktu malam (tahajjud) serta membaguskan solatnya, Allah akan memberikan dia kemuliaan sembilan macam. Lima macam di dunia, dan empat macam di akhirat. Yang lima macam di dunia,ialah 1. Allah akan memeliharanya dari segala macam bahaya.2. Ditunjukkan tanda-tanda sebagai orang yang taat pada mukanya.3. Ia akan dicintai di hati orang-orang mukmin dan segenap hati manusia umumnya dan 4. Kata-katanya mengandungi hikmah,5. Dijadikan dia orang bijaksana, iaitu dikurnai fikiran cerdas. “Yang empat macam di akhirat nanti, ialah 1. Dibangkitkan dia dari kubur dengan wajah yang putih bercahaya. 2. Akan dimudahkan dia waktu dihisab. 3. Dia akan melintas di atas sirat (titian) seperti kilat, dan 4. Diberikan buku amalannya di tangan kanannya pada hari kiamat."
Dari Abu Hurairah bahwasanya Rasulullah bersabda maksudnya: “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan siapa yang yang memohon ampun kepadaKu, maka akan Aku ampuni.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
“Tahajjud” bererti bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajjud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajjud dikerjakan dua rakaat. Ketika hati dan fikiran tenang, sunyi dari kesibukan dunia maka ketika saat inilah jika kita bermunajat hingga menitiskan air mata penyesalan dan memohon ampun kepada Allah maka akan mendapat perlindungan daripada-Nya di hari akhirat nanti. Jangan sia-siakan masa dan umur. Buatlah sesuatu amalan yang boleh memberi kekuatan dalam membina hubungan hati dengan Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment