Tuesday, November 24, 2015

Bakti Kepada Ibu Tua

Nabi Musa a.s. ingin benar mengetahui siapakah yang akan menjadi temannya di syurga. Setelah diwahyukan oleh Allah mengenai sifat-sifat lelaki itu, Nabi Musa a.s. terus mencarinya. Lelaki itu seorang penjual daging di pasar. Setelah menemui lelaki itu, Nabi Musa a.s. menyatakan hasratnya untuk menjadi tetamunya beberapa hari. Lelaki itu bersetuju menerimanya.Sebenarnya, Nabi Musa a.s. mahu melihat apa amalan yang menyebabkan lelaki itu menjadi temannya di syurga kelak, namun merahsiakan tujuannya.
Setelah Nabi Musa a.s. memasuki rumah lelaki itu, baginda serta merta dihidangkan dengan sup daging. Sewaktu baginda menikmati sup, lelaki itu masuk kebilik dan keluar mendukung seorang wanita yang sangat tua lalu meletakkannya di atas tilam. Lelaki itu menyuapkan sup daging ke mulut wanita tua tersebut sehingga dia kenyang. Kemudian pakaian wanita tua yang kotor terkena sup ditukar dan dibasuhnya di sebuah telaga berhampiran rumahnya. Agak lama barulah lelaki tadi menemui Nabi Musa a.s.yang sedang memerhatikan perbuatannya. Nabi Musa a.s. bertanya, "Siapakah perempuan tua itu?"
Lelaki itu menjawab dengan suara sayu, "Itulah ibu saya. Dia sudah terlalu tua.Tidak berdaya lagi menguruskan dirinya. Sebab itu saya membuat segala-galanya. Maafkan saya kerana tidak melayan saudara makan sebentar tadi." Nabi Musa a.s. merasa terharu mendengar kata-kata lelaki itu, hatinya berbisik, 'Alangkah besar bakti dan kasih sayang lelaki itu kepada ibunya. Patutlah Allah telah menyediakan baginya Syurga di akhirat kelak.'
Kemudian Nabi Musa a.s. menghampiri lelaki itu dan berkata, "Saya datang ke sini kerana ingin sangat melihat apakah amalan yang menyebabkan Allah menjadikan saudara teman saya di Syurga kelak." Sebaik mendengar penjelasan baginda, lelaki itu terus sujud syukur dan berazam akan meningkatkan keimanannya kepada Allah serta berbakti kepada ibunya hingga ke akhir hayat.
Begitulah pahala dan kebahagiaan yang diterima oleh seorang anak yang soleh, yang mana Allah menjanjikan syurga kepada hamba-Nya yang mengasihi ibu bapa dan menabur bakti kepada mereka berdua sehingga akhir hayat. Rasulullah s.a.w. mengajar kita untuk mendoakan kedua ibu bapa sama ada mereka masih hidup atau pun telah meninggal dunia, "Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihani diriku sewaktu aku kecil dahulu. Amin yarabbal 'alamin."

No comments:

Post a Comment