Sunday, July 5, 2015

Usah Abaikan Ibu Bapamu

Seorang bapa tua yang berkerusi roda sering mengupah teksi setiap kali pergi membuat rawatan di hospital. Isterinya sudah lama meninggal, anak pula sudah bekerja dan tinggal berasingan. Dia memang tidak mahu anaknya menghantar dia ke hospital kerana takut si anak akan mendapat dosa sekiranya anak itu menolak dan memberi pelbagai alasan. Dengan air mata berlinang, bapa tua itu memberikan pendapat bahawa anak dipelihara untuk menyenangkan hidupnya. Tetapi tidak boleh diharap menyenangkan hidup ibu bapa. Dosa anak bila berkata "uuh!" pun sudah cukup besar, inikan mula menolak, memberi alasan dan bermuka masam bila diminta pertolongan. Bagi bapa tua itu, tugasnya memelihara anak sudah selesai. Biarlah mereka merenangi lautan hidup tanpa diganggu.
Ibu dan bapa sanggup mengorbankan apa sahaja demi kesejahteraan anak. Perasaan itu lahir bukan atas paksaan tetapi naluri yang tuhan jadikan.Jauh di sudut hati mereka mengharapkan anak-anak menjadi tempat bergantung di hari tua. Namun kini zaman telah berubah. Ramai anak yang terlupa, teralpa bila sibuk mengejar dunia, anak hilang pertimbangan di antara bapa yang telah tidak berupaya serta membebankan, dengan dunia yang perlu dihambat!Bapa yang baik akan meneruskan pengorbanannya hingga ke akhir hayat.Wahai anak-anak, berhentilah memberi alasan kepada ibu dan bapamu kerana mereka tidak pernah memberi alasan untuk memenuhi permintaanmu kecuali bila mereka benar-benar tidak berupaya!! Al Fatihah kepada ibubapa kita sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia.[Adaptasi dari cerita asal oleh Din Bilal]
Tanpa kasih dan sayang, manusia itu bukan manusia. Demi kasih dan sayang, mengalirlah air susu untuk bayi yang menangis. Demi kasih dan sayang, bumi merawat benih menjadi tumbuhan. Demi kasih dan sayang, awan menangis membasahi bumi lalu menyuburkan tanaman. Hiduplah dengan kasih dan sayang [Ustazah Siti Nurbaya Usman]
Kasih ibu dan bapa kepada anak-anak tidak ada batasnya! Kasih anak terhadap ibu bapa ada batasnya. Ketika anak sakit, hati ibu bapa terhiris; namun bila ibu bapa sakit anak cuma menengok dan bertanya-tanya. Anak-anak menggunakan wang ibu bapa sudah seperti satu keharusan, tetapi ibu bapa menggunakan wang anak pasti jarang sekali berlaku! Oleh itu, wahai ibu bapa CUKUPILAH diri sendiri dan berikanlah kepada anak seBIJAKSANA yang mungkin. Rumah ibu bapa adalah rumah anak, tetapi rumah anak bukan rumah ibu bapa. Tidak semua anak mahu berbakti kepada ibu bapa. Ibu bapa selalu mendoakan anak, Tetapi anak disebabkan kesibukannya tidak selalu mendoakan ibu bapa. Wahai ibu bapa, bekalkan diri anda ke alam kubur dengan amalan yang banyak, jangan hanya bergantung pada doa anak. Kebaikan dan keburukan akan selalu datang sebagai ujian dan tidak akan berakhir sampai mati. Maka bersyukur dan bersabar. In sya Allah, hari tuamu akan bahagia.

No comments:

Post a Comment