Tuesday, July 28, 2015

Ilmu Amal Dan Akhlak

Menimba ilmu bukan hanya memerlukan akal yang cerdas, tetapi juga memerlukan kejernihan hati. Kalau hanya berbekalkan akal tanpa kejernihan jiwa, takut ia hanya akan menimbulkan sifat bangga diri
Terdapat orang yang soraknya sahaja yang kuat tetapi akalnya tidak dapat menghargai ilmu yang terkandung dalam kitab. Baginya belajar itu membebankan, tidak faham mengapa ilmu itu dipelajari. Keadaannya sama dengan keldai yang disuruh memikul rumput. Ia akan menghempaskan diri dan juga rumput di tempat yang telah ditetapkan lantaran beratnya.Bila memikul padi pun ia tetap berbuat demikian. Ia tidak dapat membezakan nilai rumput dan buah padi. Ia tidak tahu buah padi akan gugur dan rosak bila dihempas.Ia cuma faham berat bebannya sahaja.
Islam sangat menyeru supaya umatnya berilmu. Al Quran bukan hanya untuk dibaca. Bukan pula perlu untuk dilantunkan berlagu lagu.Al Quran bukan untuk dijunjung di atas kepala dan merasakan beratnya. Kita disuruh menimba rahsia yang tersimpan di dalamnya dan mengamalkannya.Betapa pun tebal dan berat amalannya, namun ia menjadi ringan di akhirat kelak bagi yang mengamalkan apa yang dibacanya.
Betapa banyak pun nasihat yang disebarkan, ramai yang hanya memandang dengan sebelah mata kerana tiada amalan yang memancarkan cahaya Ilahi di dalam hatinya.
Dunia yang luas ini terdapat banyak pintu kebaikan andai diri dapat beristiqamah dengan akhlak mahmudah. Di Akhirat nanti pintu syurga adalah bagi mereka yang berakhlak baik semasa di dunia. Setiap kebaikan yang tertulis tidak pernah terhapus, melainkan jika di selimuti dengan ghibah dan fitnah. Mulakan menabur kebaikan di dunia yang akan fana dan buktinya akan tersimpan di akhirat yang kekal dan abadi.[Ustazah Siti Nurbaya Usman]

No comments:

Post a Comment