Friday, December 12, 2014

Virus dan Barangan Import

Ketika ini Malaysia sedang dilanda virus yang berbahaya. Virus ini datangnya daripada barangan berbagai cap yang menjadikan Malaysia sebagai sasaran mendapatkan RM. Di antaranya ialah: Hedonisme yang datang dari tempat-tempat yang namanya berakhir dengan perkataan “wood” – Hollywood dan Bollywood. Cara pergaulan dan hidup “kuning” yang dipaparkan menjadi ikutan ramai penduduk di negara ini. Berpeleseran lelaki perempuan tanpa batasan, zina dan liwat “dibiasa-biasakan” dalam kehidupan sehari-hari sehingga ia tidak lagi terasa berdosa.
“Barangan” Nigeria pandai mengayat dan menundukkan wanita tempatan sehingga sanggup menyerahkan wang dan kehormatan. Benih yang ditanam dilahirkan dan kemudian dicampak ke longkang, sungai dan pusat pelupusan sampah. “Cap” Amerika Selatan pula membawa kepakaran memecah masuk ke rumah-rumah mewah dan melarikan harta benda berharga. Tidak kurang yang “terror” teknologi sehingga mampu mengaut RM berjuta-juta dari mesin-mesin ATM di seluruh negara.Bahan import berupa “China Doll” dari Negeri China pula berani melakukan pelbagai aksi lucah dan pelik. Mereka menawarkan batang tubuh yang zahirnya kelihatan cantik tetapi mungkin mengandungi virus Aids dan HIV kepada mana-mana lelaki, tidak kira lelaki tempatan atau pekerja asing semata-mata kerana ingin hidup mewah.
Walaupun sudah digempur berkali-kali dan dihantar pulang oleh pihak berkuasa, mereka tetap datang ke lubuk emas ini dengan pas pelajar atau sebagai pelancong dan melakukan kerja-kerja “melencong”. Lelaki dan wanita tempatan dari berbagai pegangan agama dan keturunan - golongan kaya hingga kepada pekerja biasa - mudah tersungkur di kaki “barangan import” ini akibat rendah akhlak dan kurangnya rasa berdosa pada pegangan agama masing-masing.
Menyekat kemaraan gelombang barangan import ini secara fizikal memang sukar. Yang mampu dilakukan ialah MEMPERTEGUHKAN KETAQWAAN individu agar tidak terjebak dalam kancah yang semakin “diperindahkan” oleh syaitan ini. Ketua keluarga hendaklah mengajak ahlinya bersolat jemaah, menghadiri tazkirah dan usrah, mengingatkan diri masing-masing mengenai keburukan penyakit zaman moden yang semakin menular.
Para agamawan patut mengurangkan kegiatan “politicking” dan tidak menuduh individu yang giat mengajak kepada kebaikan di media sosial sebagai hendak “masuk politik”. Jangan UJUB DAN TAKBUR dengan amalan sendiri dan merendah-rendahkan amalan dan keimanan orang lain. Di sisi Allah, yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah, tidak kira apapun yang disuarakan oleh pemimpin politik semasa. Tinggalkan kerusi empuk masing-masing dan dekati masyarakat dengan cara LEMAH LEMBUT DAN BERHEMAH seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Buang fikiran jumud. Tindakan keras hanya akan menjauhkan lagi golongan sasaran. Berilah bantuan dengan penuh rasa kasih sayang, dan selamatkan jiwa-jiwa yang kelemasan dalam kegelapan. Sebagai pewaris nabi, para agamawan pasti akan dipersoalkan di akhirat nanti. Jika gagal menjalankan amanah, dikhuatiri jadi bahan bakar pula. Rakyat yang kuat rohani dan jasmani mampu berdepan segala cabaran. Tanpa kekuatan dalaman, bangsa Malaysia akan hilang jati diri dan hilang dari muka bumi. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment