Tuesday, December 23, 2014

Membaiki Manusia Melalui Solat

Manusia mengukur kejayaan di segi kedudukan ekonomi. Tetapi Allah mengukur kejayaan di segi kesungguhan seseorang hamba-Nya menjaga solat dan rasa khusyuk ketika mengerjakannya. Kata Hukama, untuk membaiki dunia, perlu dibaiki manusia. Untuk membaiki manusia, perlu dibaiki hatinya. Untuk membaiki hati, perlu dimulakan dengan membaiki solat.
Solat adalah pemula segala kebaikan. Ia merupakan ibadah ritual yang jika dikerjakan dengan khusyuk akan membangunkan spiritual seseorang dalam bentuk akhlak mahmudah seperti sabar, tawadduk, pemurah, pemaaf, berani dan lain-lain. Akhlak yang mulia ini akan meningkatkan nilai sosial. Semakin tinggi rasa kehambaan seseorang kepada Allah melalui solatnya, semakin intim pula hubungannya sesama manusia. Solat yang dikerjakan atas rasa CINTA PENCIPTA (I need to pray) akan menerbitkan rasa BAHAGIA SEMASA SEDANG SOLAT, sebagaimana bahagianya suami ketika bersama isteri tersayang. Solat yang dilaksanakan kerana TERPAKSA lantaran takut berdosa (I have to pray), akan menimbulkan rasa LEGA SELEPAS SELESAI SOLAT, sebagaimana leganya hati selepas selesai kerja memindahkan beban berat yang dipikul. Dalam mana-mana keadaan, sama ada kerana cintakan Pencipta mahupun kerana terpaksa, selagi solat itu dapat dilakukan dengan khusyuk, akan terbitlah roh solat yang menghadirkan keakraban dengan Allah dan sesama manusia.
Kemungkaran berupa jenayah dan penyakit sosial yang semakin parah sekarang adalah menifestasi kurangnya nilai sosial dan spiritual. Umat Islam kini meremehkan solat, sama ada tidak solat langsung ataupun solat tidak khusyuk. Bila tidak ada rasa takut pada Allah, muncullah berbagai kejahatan seperti mengadu-domba, mengumpat, memberi dan menerima rasuah, malas, suka berbalah dan sebagainya. Kurangnya akhlak juga merupakan punca sesetengah jemaah tidak peduli mengenai adab dan etika ketika berada dalam masjid. Bercakap dengan suara yang kuat mengenai hal-hal duniawi terutama politik, tanpa mengambil kira jemaah lain yang sedang beribadah.
Gambar di atas telah diambil oleh Saudara Baharuddin Mohamed ketika beliau bersolat zohor di Masjid Sultan Abu Bakar, Muar. Lelaki ini mengikut Saudara Baharuddin sejak mula mengambil wuduk. Selesai solat, dia menegur Saudara Baharuddin," Minta RM2.00." Wang lalu dihulur dengan senyuman. Kemudian mereka berbual."Orang cakap aku gila. Gila pun aku sembahyang sebab takut pada Allah. Yang aku rasa pelik, dia orang yang tak gila tu tak pula sembahyang!!!" MasyaAllah!!! Dia sedang MENGAJAR SESUATU. Semoga dia diletakkan di kalangan ahli syurga.
Kita semua adalah hamba Allah yang mengambil berat mengenai nasib kita di alam akhirat yang kekal. Oleh itu mari kita raih redha Allah dengan menjaga solat, memohon keampunan-Nya, taat kepada ibu bapa, memaafkan kesalahan orang pada kita, bersyukur atas nikmat yang Allah anugerahkan, berterima kasih kepada manusia yang berjasa, juga membantu orang-orang yang memerlukan pertolongan. Segala kebajikan kita kepada orang, pasti akan dibalasi oleh Allah dengan kebaikan juga.

No comments:

Post a Comment