Thursday, December 4, 2014

Pekerja Pilihan

Sun Tzu adalah seorang panglima perang terkenal yang hidup di Negeri China ratusan tahun dahulu. Namanya masyhur kerana kepakarannya memasang strategi dalam seni peperangan. Kejituan strateginya sangat dikagumi sehingga hari ini di mana bukunya “Sun Tzu’s The Art of War” menjadi bahan rujukan dalam alam korporat di seluruh dunia.
Terdapat satu anekdot menarik mengenai seni peperangan Sun Tzu. Suatu ketika Putera Mahkota China telah mendatangi Sun Tzu dan berkata, “Secara jujur beta langsung tidak tertarik dengan kebolehan kamu. Beta tak faham mengapa ayahanda beta terlalu taksub dengan kamu. Kalau benar kamu ini hebat, cuba kamu didik gundik-gundik di istana ini menjadi tentera. Beta beri kamu 3 hari untuk melakukannya.”
Jawab Sun Tzu, “Patik tidak perlukan 3 hari, cukuplah sekadar separuh hari saja. Tapi dengan syarat semasa patik melatih mereka, Tuan Putera tidak boleh langsung mencampuri urusan patik.” Mendengar kata-kata Sun Tzu, Putera Mahkota pun bersetuju. Ketika Maharaja China berangkat keluar kota ke satu tempat yang jauh, Putera Mahkota menunaikan janjinya pada Sun Tzu dengan memanggil beratus-ratus gundik istana beratur dengan baik di hadapan Sun Tzu dalam perkarangan istana.
“Baiklah, sekarang aku hendak beri arahan kepada kalian. Pada paluan gong yang pertama, kalian hendaklah berdiri tegak dan lurus. Pada paluan kedua, kalian mesti membuka kaki dan berdiri dalam keadaan bersedia. Pada paluan ketiga, kalian hendaklah berpaling ke arah kiri.” Walaupun sebahagian besar gundik mematuhi arahan yang diberikan, ada di kalangan mereka yang rapat dengan Putera Mahkota sengaja buat lambat-lambat sambil ketawa main-main. Melihatkan keadaan itu sekali lagi Sun Tzu mengeluarkan perintah. “Aku telah diberi kuasa penuh oleh Putera Mahkota untuk melatih kamu menjadi tentera. Kini aku bagi kamu peluang kedua. Mungkin tadi kamu tidak faham apa yang aku arahkan. Ingat, pada paluan pertama, berdiri lurus. Paluan kedua, bersedia. Paluan ketiga, paling ke arah kiri. Kali ini sesiapa yang tidak mengikut arahan aku akan hukum”.
Latihan diulang buat kali kedua. Namun masih ada dua tiga orang gundik yang akrab dengan Putera Mahkota yang bermain-main dan enggan mematuhi perintah. Lalu Sun Tzu memerintahkan pembantunya membawa mereka ke hadapan untuk menjalani hukuman pancung. Putera Mahkota membantah tetapi Sun Tzu mengingatkan baginda pada janjinya tidak akan campur tangan dalam urusan latihan. Maka gundik-gundik yang degil itu pun dipancung. Keadaan ini menimbulkan rasa gentar di hati gundik-gundik yang lain. Latihan diulang buat kali ketiga. Pada kali ini semuanya patuh pada perintah. Lalu Sun Tzu berkata kepada Putera Mahkota, “Tuan Putera, semua gundik istana telah bersedia menjadi tentera dan sanggup berjuang dengan nyawa mereka.”
Tiga perkara yang ditunjukkan Sun Tzu ini digunakan dalam alam perniagaan. Pertama, arahan yang diberikan kepada pekerja mesti JELAS DAN DIFAHAMI. Kedua, jika mereka melakukan kesilapan, BERI PELUANG KEDUA UNTUK MEMPERBETULKAN. Ketiga, jika arahan diingkari dengan sengaja, HUKUM mereka dengan PEMECATAN dan gantikan tempat mereka dengan pekerja baru. Itulah CARA untuk memastikan PEKERJA TAAT kepada majikan. Dalam konteks Islam, ajaran yang Nabi s.a.w. turunkan adalah jelas. Jika ada yang terkhilaf, mereka diberi peluang untuk diajar sekali lagi. Jika masih ingkar, hukuman dijatuhkan untuk menjadi iktibar kepada yang lain. Hubungan majikan-pekerja adalah satu pertalian personal dan profesional, suatu hubungan yang memerlukan sentuhan kemanusiaan, saling menyayangi dan sama-sama bahu membahu demi mencapai kejayaan.
Dalam mencari pekerja, majikan harus mendapatkan mereka yang KUAT jasmani dan rohani serta AMANAH. Majikan juga perlu menunaikan hak-hak pekerja. Sabda Nabi s.a.w.: “Berikanlah UPAH kepada pengambil upah (orang yang bekerja) sebelum kering peluh mereka”. (Hadis Riwayat Ibn Majah). Hadis ini melarang majikan mengambil kesempatan ke atas pekerja dengan melambat-lambatkan, menangguhkan atau menahan gaji. Pekerja juga manusia yang mempunyai kelemahan dan kekurangan. Tidak wajar majikan bertindak sesuka hati. Allah Yang Maha Adil tidak akan membiarkan penganiayaan berlaku. Nabi s.a.w. pernah mengingatkan bahawa ada sesetengah keadaan di mana rezeki seseorang itu ditahan akibat dia menzalimi orang lain.
Majikan boleh bersikap BAIK kepada pekerja dengan melebihkan sedikit pemberian (bonus), atau sekali-sekali belanja mereka makan. Ini dianggap sedekah dan memang diketahui sedekah bakal membawa kebaikan berganda. Majikan juga harus bersikap TEGAS supaya tidak dianggap lemah dan diambil kesempatan oleh pekerja. Namun majikan dilarang berlaku KERAS kerana sikap begitu tidak akan mendidik pekerja, sebaliknya menyebabkan mereka bertambah degil.
Islam tidak pernah menafikan kemanusiaan. Pekerja mungkin membuat kesilapan yang jarang dilakukannya. Majikan wajar memaafkan dia. Lainlah kalau perbuatan itu dilakukan berulang-ulang. Pekerja harus mengubah sikap itu atau berdepan hakikat dibuang kerja. Ada juga pekerja yang tidak dapat berkhidmat dengan baik disebabkan masalah keluarga di rumah. Majikan patut bertanya khabar dan menunjukkan sifat kemanusiaan. Sesungguhnya Allah sukakan hamba-Nya yang lembut dan berbelas kasihan. Selain memohon supaya Allah meluaskan rezeki, doa harus juga dipanjatkan supaya dikurniakan pekerja yang amanah, soleh dan solehah, di samping mendoakan kebaikan buat mereka. Harus diingat bahawa setiap doa ke atas orang lain bakal mendapat kebajikan yang sama bila malaikat turut mendoakan kebaikan ke atas kita. [“Pekerja Pilihan” oleh Ustaz Muhamad Abdullah dalam rancangan Motivasi Pagi 4 Disember 2014 di TV3]

No comments:

Post a Comment