Saturday, December 20, 2014

Bukti Seorang Munafiq

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Pagi tadi, dia terbangun daripada tidur sewaktu jemaah di masjid sudah pulang daripada solat Subuh berjemaah. Dia ke bilik air sambil berlenggang. Sejurus mandi, dia berjalan masuk ke bilik menyalin pakaian kerja. Dengan tenang dia bertakbir solat Subuh, dicangkul soaltnya sepantas kilat tanpa sempat berwirid, apatah lagi berdoa. “Ah, minggu lepas sudah berdoa, buat apa berdoa hari-hari!” gerutu hatinya.
Pagi masih hening, dia melangkah turun dari kenderaan dengan wajah sebal. Menuju ke tempat kerja dengan hati yang kusut dan celaru. Sebaik sampai di pejabat, dia menekan suis komputer dan memasang lagu Inggeris yang sentimental sebagai halwa telinga. Tubuh disandarkan ke kerusi. Dia pejam mata sambil mendengar lagu. Segar. Kemudian, alis mata dibuka semula, lalu pandangan ditujukan ke ruang pejabat. Melihat gelagat rakan-rakan sekerja dalam keadaan telinga mendengar alunan lagu. Ada yang melintasi di sebelah dia dengan wajah yang ceria dan senyuman, Dia membalasnya dengan pandangan yang sepi sahaja. Kemudian dia beralih pandangan kepada komputer. Bermula aktiviti menyelam di alam maya, membuka Facebook atau melayari sesawang untuk memeriksa perkembangan terkini. Itulah rutin pagi sebagai pekerja.
Bila tamat kerja, dia pulang ke rumah lewat petang atau di awal malam dengan wajah ceria. Yes! Kerja sudah habis! Sebaik masuk ke dalam rumah, dia rebahkan tubuh dan mencari ‘remote’ televisyen. Klik! Dia memasang televisyen dan duduk bersandar di kerusi. Membiarkan mata dan telinga dijamu oleh program televisyen. Atau, dia akan segera menekan butang nyala pada komputer riba, Mula melayari laman sosial atau bermain permainan di atas talian. Itulah rutin hidupnya setiap kali pulang bekerja. [Petikan dari “Bila Hati Diketuk” dalam al-Ustaz edisi Perdana]
Rasulullah saw berpesan: “Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan solat Fajar (Subuh). Andainya mereka tahu apa yang ada dalam kedua-dua solat itu, nescaya mereka menghadirinya sekalipun dengan merangkak. Dan sesungguhnya, aku mahu menyuruh (orang) mengerjakan solat, kemudian aku perintahkan seseorang untuk mengimami mereka, lalu aku pergi bersama orang-orang dengan membawa kayu kepada orang yang tidak hadir melaksanakan solat. Kemudian aku bakar rumah-rumah mereka.” (HR Muslim).
“Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak secara berjemaah, maka ia seperti bangun setengah malam (untuk solat malam) dan sesiapa yang solat Subuh secara berjemaah, maka ia seperti solat malam seluruhnya.” (HR Muslim).

No comments:

Post a Comment