Thursday, December 25, 2014

Cermin Mata dan Cermin Muka

Manusia kini sudah kembali berperangai seperti haiwan, ejek mengejek dan tipu muslihat.Manusia lebih teruk dari babi yang tabiatnya menyondol dan najisnya sampai ke darah daging. Kita sudah kembali ganas seperti ular dan buaya yang bercabang lidah, sanggup membelit serta menelan mangsa sekali dengan kasut dan topi keledarnya. Ironinya, golongan yang jahat, ganas, membelit dan zalim seperti haiwan itu yang diagungkan dan disembah manusia. Letakkanlah politik, perbezaan di segi warna kulit, kaum dan agama di tepi. Jangan kerap BERCERMIN MATA kerana khuatir akan terlihat ‘aib orang. Jika terlihat, berusahalah bersungguh-sungguh untuk menutupinya. In sya Allah ‘aib sendiri akan ditutupi Allah pula.
Sebaliknya, rajin-rajinlah BERCERMIN MUKA supaya dapat melihat semua sifat yang mencacatkan diri. Jika ada, dan sudah semestinya ada, berusahalah bersungguh-sungguh untuk memperbetulkannya.Gunakan cermin muka untuk mengesan sifat mazmumah di dalam diri yang memang menjadi laluan mudah untuk syaitan menghasut manusia. Di antaranya:
SIFAT PEMARAH – Marah yang tidak dikawal menyebabkan hilang kewarasan pemikiran. MENURUTI HAWA NAFSU – Inilah laluan syaitan yang meniupkan “angin jahat”, menyebabkan manusia terjerumus ke lembah maksiat seperti zina, rogol, liwat dan sebagainya. SOMBONG DAN TAKBUR – menyebabkan ramai manusia menolak kebenaran. Lebih dahsyat lagi bila ada manusia yang mengaku dirinya Tuhan dan juga Nabi!!! BAKHIL – adalah sifat tamak melampau yang ditanam oleh syaitan sehingga individu itu terasa berat untuk bersedekah atau menghulurkan bantuan. HASAD DENGKI – Tidak senang dengan kesenangan orang lain. Kalau seseorang dikurniai nikmat, dia amat susah hati sehingga mendorong melakukan sesuatu. JAHIL – Orang tidak beriman mudah disesatkan oleh syaitan. Maka timba sebanyak-banyak ilmu agama Islam yang benar daripada para ulama muktabar. ALLAH S.W.T. menyediakan banyak sifat mahmudah dalam diri manusia. Mengelakkan sifat mazmumah bererti mengajak diri kepada kebaikan.

No comments:

Post a Comment