Sunday, December 21, 2014

Istidraj

Apa itu ISTIDRAJ ? Istidraj adalah keadaan di mana ALLAH memberi kejayaan, harta kekayaan dan rezeki yang melimpah ruah dalam kehidupan pelaku maksiat tegar supaya dia menjadi semakin jauh dari-Nya. Umumnya, orang yang mendapat istidraj tidak berusaha mengamalkan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH.Contoh orang yang mendapat istidraj memang banyak. Seorang daripadanya ialah Qarun yang mana kisahnya terdapat dalam Al Quran. Dia sungguh kaya. Dikatakan bahawa kotak yang berisi kunci gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaan dan pelaburannya menjadi belaka.
Tetapi bila sepupunya, Nabi Musa a.s cuba mengingatkan dia bahawa semua kekayaan itu datang daripada ALLAH, Qarun dengan angkuh menjawab, “Tidak, semua ini hasil dari ilmuku”.Ternyata dia semakin jauh dari Allah, walaupun rezekinya melimpah ruah. Saban waktu dia memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa a.s. yang terdiri dari orang miskin dan hamba. Apakah pengakhiran Qarun? Allah menenggelamkan dia ke dalam bumi dengan seluruh hartanya.
Mari kita fikirkan – andaikan kita dari jenis orang yang melazimi dosa dan maksiat, tetapi kita berjaya pula dalam semua usaha. Apa yang akan timbul dalam benak? Mungkin ada yang akan berkata begini, “Tengok, aku berjaya walaupun aku tak solat. Siapa kata solat membawa kejayaan?” Sungguhpun kita berjaya, tetapi kita semakin jauh dari Allah. Itulah ISTIDRAJ.
Oleh itu jangan kecewa bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan kita dengan Allah itu perlu diperhatikan. Jika hubungan keimanan terbina dengan baik, in sya Allah, datanglah badai apa sekalipun, kita akan mampu melaluinya. Sebenarnya Allah suka menguji hamba-hamba-Nya yang beriman.
Kisah mengenai dua orang nelayan - seorang penyembah berhala, seorang lagi muslim yang taat kepada Allah. Ketika menebar jala, penyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca Bismillah. Bila jala diangkat, penyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu. Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada Allah. “Duhai Allah, apa yang telah berlaku? Hamba yang menyekutukan-Mu, Kau berikan rezeki yang banyak, sedangkan hamba yang menyebut nama-Mu, Kau tidak berikan dia apa-apa.” Allah menjawab, “Yang menyekutukan Aku, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Tetapi Hamba-Ku yang beriman itu, Aku hendak mengganjarkannya SYURGA. Aku suka menguji dia untuk melihat kekuatan imannya.”
Oleh itu jangan putus asa jika gagal dalam peperiksaan, perniagaan, mahupun rumahtangga, setelah bekerja keras menyusun strategi dengan teliti dan kemas. Itu semua sebahagian daripada ujian. Allah hanya menguji mereka yang dikasihi-Nya. Allah berfirman: “Apakah kamu mengira Kami akan membiarkan kamu berkata kami sudah beriman sedangkan kamu belum diuji.”
Jika gagal dalam sesuatu perkara, kegagalan hanya dalam perkara itu semata-mata, sedangkan dalam hal lain masih ada kejayaan yang mungkin tidak kita sedari. Teruskan berusaha selagi nyawa masih ada. InsyaAllah, Allah akan memberikan sesuatu yang bermakna pada kita. Bersangka baiklah dengan-Nya. Bila hidup berhadapan dengan masalah, ucapkan rasa syukur. Itu tandanya Allah masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatian-Nya pada kita. Mustahil kita hanya inginkan kesenangan yang sebentar sahaja di dunia, sedangkan di akhirat yang kekal abadi nanti kita merana. Apalah ertinya kejayaan yang dibina di atas timbunan dosa. Jom, periksa hubungan kita dengan Allah.
MEMANG AKU BERDOSA TAPI AKU BERJAYA!!!…. HATI-HATI, JANGAN SAMPAI TERKELUAR KATA-KATA SEPERTI INI ATAUPUN LAFAZ LAIN YANG MEMBAWA ERTI YANG SERUPA DARI MULUT KITA.

No comments:

Post a Comment