Saturday, December 13, 2014

Aurat Lahir Aurat Batin

Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah WAJIB menutup aurat tidak kira sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri. Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain. Sekiranya ikhlas dijadikan alasan maka, ramai di luar sana tidak perlu solat 5 waktu kerana sukar mencapai tahap keikhlasan.Perlu diingatkan, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir. Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya, tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat. Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, sekurang-kurangnya dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki. Jika bukan sekarang, takkanlah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah? Ingatlah bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.
Menutup Aurat bagi kaum wanita bererti BERPAKAIAN LONGGAR menutup seluruh AURAT LAHIR mengikut piawaian yang ditetapkan Allah dalam Surah Al Ahzab ayat 59: “Wahai Nabi, katakanlah pada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka MELABUHKAN JILBABNYA KE SELURUH TUBUH mereka.” Yang demikian itu agar mereka lebih mudah dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
Selain itu perlu juga ditutup AURAT BATIN iaitu menjaga AKHLAK yang baik. Bila aurat lahir dan aurat batin sudah terjaga, maka akan terserlah KEANGGUNAN DAN KEINDAHANNYA. Nabi s.a.w. bersabda: “Dunia ini perhiasan, dan perhiasan terindah adalah WANITA SOLEHAH.”
Luqman Hakim, seorang lelaki bukan nabi, bukan berketurunan Arab, namun dia masyhur sebagai lelaki soleh dan bijak bistari sepanjang zaman sehingga namanya, juga petuanya, diabadikan dalam Al-Quran. Berikut adalah satu nasihat indahnya yang tidak terdapat dalam al-Quran namun tercatat dalam sejarah: “WANITA SOLEHAH umpama MAHKOTA di kepala raja. Wanita tidak solehah seperti beban berat yang dibawa-bawa di belakang lelaki tua renta.” Oleh itu, pilihlah – mahu jadi mahkota atau beban berat. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment