Sunday, December 21, 2014

Meraih Hidayah Allah

Pokok hidayah Islam bersifat tunggal, berteraskan tauhid yang bersumber dari Allah. Hidayah mampu mengubah manusia kufur menjadi manusia beriman, kemaksiatan kepada ketaqwaan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran, kegelisahan kepada ketenangan jiwa.
Setiap hamba Allah mempunyai pilihan, sama ada ingin bahagia atau derita. Bagi yang bersedia untuk menerima kebahagiaan, Allah akan melapangkan dada (membuka hati) untuk menerima Islam. Cahaya Allah turun ke hati menyebabkan hamba itu beribadah bersungguh-sungguh untuk kembali ke akhirat, meninggalkan kemegahan dunia dan bersiap sedia menghadapi kematian. Allah memudahkan kebaikan untuknya, petunjuk dan hidayah Allah sentiasa mengiringinya.
Hamba yang dikuasai syaitan menolak hidayah Allah. Kerana itu Allah menjadikan dadanya sesak dan sempit. Allah mencabut kemampuan dan potensi dari hati sehingga fikirannya kusut dan tidak stabil. Petunjuk sukar diterima dan keimanan tidak memberi manfaat dan kebaikan kepadanya. Hidup tanpa hidayah menyebabkan dia dalam keadaan terumbang-ambing, mudah terdorong melakukan amalan penghuni neraka (kejahatan).Golongan yang menolak hidayah bersungguh-sungguh memenuhi keperluan dunia dan mencari rezeki, kononnya atas alasan “sudah menjadi tanggungjawab untuk mencari yang terbaik!” Mereka terlupa rezeki itu Allah yang tentukan. Mereka menafikan keperluan mencari jalan-jalan menuju hidayah.
Sesungguhnya, sebagaimana kita berusaha mendapatkan rezeki dan habuan di dunia, perkara yang sama perlu diusaha untuk mendapatkan ganjaran di akhirat. Dengan ini barulah ada keseimbangan. Kita mesti mengelakkan diri kita daripada menjadi hamba yang kerugian.Wallahualam.

No comments:

Post a Comment