serenemaklong.blogspot.com
Filem Penunggu Istana keluaran Grand Brilliance Sdn Bhd yang ditayangkan di pawagam baru-baru ini telah menonjolkan sebuah rumah besar di pekan kecil bernama Papan, kira-kira 20km dari Bandaraya Ipoh.
Rumah yang dikatakan istana itu telah dibina pada 1896 oleh seorang berketurunan bangsawan (namora) berasal dari Sumatra bernama Raja Bilah.
Dilahirkan sekitar 1834, Raja Bilah anak kepada Raja Todung Barani berketurunan dari marga (salasilah atau family tree) Nasution. Ibunya pula dari marga Rangkuti. Sudah menjadi adat kaum Mandailing bahawa perkahwinan sesama marga adalah dilarang sama sekali.
Rajah Bilah telah menyusuli jejak langkah bapa saudaranya, Raja Asal berpindah ke Semenanjung Tanah Melayu dari daerah Maga. Mandailing Ulu, Sumatra untuk mencari rezeki setelah tanah tumpah darah mereka menjadi kancah peperangan di antara tentera Padri yang beragama Islam tetapi berfahaman Wahabi dengan pihak Belanda.
Bapa saudaranya, Raja Asal Nasution adalah seorang peniaga bijih di Lembah Kinta dan mengutip cukai bagi kerajaan negeri Perak di Pengkalan Pegoh. Akibat usia tua, tugas itu tidak dapat dilakukannya dengan baik menyebabkan beliau terhutang beribu-ribu ringgit dengan kerajaan negeri.
Oleh kerana itu beliau meminta Raja Bilah supaya mengambil alih tugasnya. Hasil kerjanya yang penuh jujur menarik perhatian pihak British yang kemudian melantik beliau sebagai penghulu mukim Papan di Perak. Kehadirannya sangat disenangi oleh pelombong Cina dan juga penduduk sekitar yang rata-rata berasal dari Sumatra berketurunan Mandailing, Rawa, Minang dan Tolu.
Ketika itu pusat pemerintahan British adalah di Batu Ga jah. Raja Bilah menerima arahannya dari pegawai British di sana .
Kira-kira 100 tahun lalu, rumah besar dua tingkat itu yang dinamakan dalam bahasa Mandailing sebagai Sapo Godang digunakan sebagai tempat mesyuarat dan perhimpunan penduduk tempatan. Di situ juga diadakan upacara perkahwinan, kenduri dan sebagainya.
Kebakaran besar pada 1899 telah menyebabkan perpindahan secara beransur-ansur oleh penduduk tempatan dan kini pekan Papan telah sepi dari segala kegiatan.
Namun pada 11 Jun lalu Sapo Godang ini meriah seketika bila waris keturunan Raja Bilah mengadakan majlis tahlil sempena 100 tahun almarhum itu pulang ke rahmatullah. Beliau meninggal dunia pada 9 Jun 1911, tidak lama selepas kembali daripada menunaikan fardu haji di tanah suci di mana beliau telah menukar namanya menjadi Haji Abdal Razzaq.
Majlis tahlil ini telah disertai oleh lebih 200 orang ahli keluarga keturunan Raja Bilah dari seluruh negara yang menjangkau empat generasi, iaitu dari generasi ketiga hingga keempat. Secara tidak langsung majlis ini mempereratkan hubungan silaturrahim di kalangan ahli keluarga yang selama ini memang sukar untuk bertemu.
Kami seluruh keluarga memohon kepada Allah S.W.T. semoga almarhum dicucuri rahmat-Nya. Al- Fatihah.
No comments:
Post a Comment