Saturday, June 25, 2011

Kerja Memasak Selamat dan Menyeronokkan

serenemaklong.blogspot.com

Kedudukan dan pilihan dapur masak penting bagi memastikan kerja memasak lebih selamat, mudah, pantas dan menyeronokkan. Pastikan ia terletak berdekatan sink, mempunyai lebihan ruang untuk menempatkan kuali dan periuk panas, menonjolkan reka bentuk kemas dan dilengkapi alat penyedut wap bagi menghilangkan bau dan asap masakan. Alat ini pula seelok-eloknya dipasang lampu tumpu bagi menerangi ruang masakan, terutama jika dapur masak terletak agak tersorok.

  • Binaan kabinet dapur berpulau dengan meletakkan tungku di unit berpulau, paling praktikal bagi mereka yang tidak betah duduk di satu-satu tempat sewaktu memasak atau mempunyai ruang penyimpanan berasingan mengikut kegunaan. Bagaimanapun, pastikan ia dilengkapi alat penyedut wap berkuasa tinggi kerana kedudukanya di tengah ruang. 
  • Pastikan jaring meletak kuali pada tungku berkeadaan kukuh. Jangan pilih dapur masak yang jejari logamnya terlalu pendek atau tinggi kerana ia menyukarkan kerja memasak, terutama jika anda seorang yang rendah. Bagi anda yang rajin memasak, pastikan juga bahagian dasar dapur masak dan jaring meletak kuali diperbuat daripada enamel bermutu tinggi atau logam tahan lasak dan kalis calar. Jika anda seorang yang takut mengguna gas, beli dapur masak elektrik.
  • Ketinggian dapur masak sepatutnya lebih rendah daripada permukaan meja kerja dan kelengkapan di sekelilingnya bagi mengelak percikan minyak panas dan tumpahan air. Pastikan anda boleh melihat masakan yang sedang dimasak. Tungku hendaklah terletak pada jarak 10 hingga 17.5 sm di bawah siku.
  • Jangan tinggalkan kuali panas atau cerek berisi air panas di atas tungku bagi mengelak kemalangan yang tidak diingini jika tersinggung barangan itu sewaktu sibuk memasak.
  • Seelok-eloknya pasang alat ketuhar dalam kabinet siap dipasang dan pastikan kedudukannya tinggi supaya tidak mudah dicapai kanak-kanak tetapi jangan terlalu tinggi sehingga sukar pula anda hendak memasak. Jika membeli dapur masak beserta alat ketuhar, alat ini lazimnya terletak di bahagian bawah dapur masak, jadi pastikan anak kecil anda tidak mendekatinya sewaktu ia sedang berfungsi. Seelok-eloknya beli alat ketuhar berpintu cermin yang kalis panas.
  • Jika tertumpah sesuatu di atas dapur masak, perkara pertama yang perlu dibuat ialah menabur garam di atasnya sebelum mengaut semula dengan senduk kayu, kemudian lap kesan tumpahan menggunakan tuala basah.
  • Masakan hangus atau tumpahan cecair boleh membuatkan alat ketuhar berbau busuk. Hilangkannya dengan meletak sepiring ammonia pada rak teratas manakala air bersih dalam kuali diletakkan pada rak di bawah. Biarkan semalaman, kemudian baru buka penutup ketuhar dan bersihkan dengan bancuhan air pencuci suam. Untuk menghilangkan bau yang kurang enak daripada kesan masakan, letak semangkuk cuka di dalam ketuhar dan biarkan seketika. Cuka dikatakan boleh menyerap bau.
  • Serbuk penaik paling mujarab untuk memadamkan kebakaran kecil yang disebabkan sambaran minyak dan litar pintas. Ia jauh lebih baik daripada menggunakan air. Anda cuma perlu merenjiskannya di bahagian yang terbakar.
(Sumber: Anjung Seri)

No comments:

Post a Comment