Thursday, June 16, 2011

Cahaya Membentuk Ruang

serenemaklong.blogspot.com




PENCAHAYAAN bukan sahaja mampu menerangi suasana gelap tetapi mampu menyuntik keindahan dan mood. Pemilihan skema pencahayaan, kesesuaian jenis lampu, reka bentuk dan kedudukan dapat menukar suasana menjadi luar biasa, sempit kepada luas dan sederhana berubah bergaya mewah. Tetapi cahaya yang terlalu terang, panas atau suram menyebabkan penghuni tidak bermaya, tertekan dan pening. Justeru itu, tahap minimum pencahayaan perlu dikenal pasti terlebih dahulu. Bijak menyuai padan kombinasi cahaya dapat menjadikan ruang lebih berseri dan berseni.

Ruang tamu
  • Sesuaikan penggunaan cahaya dengan konsep dan keluasan ruang tamu. Anda disarankan mengkaji dahulu keseluruhan ruang untuk kedudukan reka letak lampu yang lebih praktikal. Tumpukan pada bahagian lebih terperinci dan diingini. Dapatkan pandangan pakar jika masih ragu-ragu.
  • Pencahayaan dari siling dan dinding menjadikan ruang lebih besar.
  • Jika anda tinggal bersama golongan tua, cahaya putih (lampu kalimantang) amat sesuai memandangkan penglihatan mereka yang tidak begitu jelas. Pastikan kadar cahaya tidak terlalu terang dan tidak terlalu malap. Cukup sekadar sederhana terang.
  • Kepelbagaian reka bentuk lampu seperti candelier, lampu dinding, lampu berkaki dan lampu meja menyerikan suasana ruang tamu.
  • Pemasangan sistem suis automatik atau alat kawalan jauh menawarkan alternatif bijak dan selamat, Anda tidak perlu risau kerana lampu akan menyala dengan sendiri mengikut masa yang ditetapkan.
  • Lampu mudah alih memudahkan anda menukar kedudukan pencahayaan ke tempat yang diingini. Untuk sebarang perhiasan dinding dan lukisan, lampu tumpu paling sesuai digunakan.
 Ruang makan /Ruang dapur
  • Gunakan dua cahaya berbeza di ruang dapur terbuka dengan makan. Cahaya putih ditumpukan pada kerja dapur manakala cahaya kuning yang romantik atau sejuk menyinari ruang makan supaya lebih tenang.
  • Candelier mampu mengubah ruang makan tampak mewah dan eksklusif melalui pancaran cahayanya yang berkilau.
  • Andai kerap berada di ruang dapur dan memiliki ruang yang luas, gunakan mentol yang dapat menjimatkan elektrik untuk jangka hayat panjang.
  • Cahaya lilin menerangi ruang makan memberikan kesan yang lebih romantik dan menyentuh hati.
 Bilik tidur
  • Gabungan pelbagai jenis elemen cahaya yang dikhaskan untuk membaca, menonton dan tidur mewujudkan suasana bilik tidur lebih praktikal, dramatik serta teratur. Cahaya kuning mewujudkan suasana redup dan romantik memberikan ketenangan.
  • Penggunaan lampu bercahaya putih sesuai untuk warga emas. Namun, jangan terlalu terang dan suram. Seeloknya pilih dalam kadar sederhana.
  • Hiasan dekorasi lampu berwarna–warni dalam reka bentuk pelbagai gaya mampu membuatkan tidur dibuai mimpi indah.
  • Candelier menjadikan kamar tidur bagaikan dalam hotel. Namun penggunaan lampu bergantung pada keluasan bilik dan ketinggian siling. Lampu sisi menghalang tidur teman sebilik anda terganggu selain memudahkan anda untuk membaca atau melakukan kerja lain.
 Elakkan
  • Menggunakan cahaya yang berbeza dalam satu masa tanpa hala tuju. Dikhuatiri akan merosakkan mood yang ingin ditonjolkan.
  • Terlalu banyak cahaya dalam kediaman bagi menimbulkan implikasi sebaliknya pada suasana dan individu. Kesan kurang selesa.
  • Membeli lampu tanpa mengambil kira kesesuaian konsep dalam ruang yang ingin ditampilkan.
  • Memasang lampu dalam kedudukan yang salah atau terlalu dekat dengan anda.
  • Menggunakan kadar atau tahap cahaya yang tidak sesuai dengan peringkat umur terutama di bilik tidur bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan golongan tua.
(Sumber: Anjung Seri)

No comments:

Post a Comment