serenemaklong.blogspot.com
Bagi yang belum membiasakan diri membuat catatan perbelanjaan bulanan, seterusnya memperincikan kepada perbelanjaan mingguan serta harian, eloklah dimulakan sekarang. Setiap pembaharuan perlu dimulakan segera walaupun dengan langkah kecil yang pertama. Ala h bisa tegal biasa.
Bayar Diri Sendiri = 20%
Sebagai panduan sebelum terbabas, dalam apa-apa situasi pun langkah bijak adalah dengan membayar diri kita dahulu sebelum membayar orang lain. Ini termasuklah simpanan perlindungan takaful dan pelaburan. Anggaplah bayar diri sendiri sebagai perbelanjaan wajib. Kombinasi yang sesuai bergantung kepada situasi kewangan semasa seseorang.
Perbelanjaan (Bulanan & Bermusim) = 40%
Tahun mendatang dicanangkan pula dengan kenaikan kadar inflasi secara global. Malah dijangka kadar inflasi rantau Asia akan melonjak kepada 5.3% pada tahun 2011 berbanding 4.4% pada tahun 2010. Sebahagiannya angkara krisis nuklear Jepun dan juga pergolakan di Timur Tengah.
Untuk kita masyarakat umum, data tersebut hanya menggambarkan satu perkara sahaja iaitu kenaikan harga makanan dan kos hidup. Sejauh mana kita bersedia untuk menghadapi situasi ini? Suka atau tidak, realiti itu kita kena tempuhi juga.
Semakin dihitung perbelanjaan bulanan, semakin sempit fikiran mencongak perbelanjaan mana yang perlu dikurangkan, sedangkan anak kecil masih menyusu susu formula dan berlampin, sementara yang besar masih bersekolah. Apapun situasinya, congak-congaklah agar perbelanjaan harian dan bermusim tidak melebihi 40% daripada pendapatan bulanan. Baki 40% lagi adalah untuk menampung hutang. Binalah kekuatan untuk mengawal nafsu agar perbelanjaan hanyalah untuk keperluan, bukan mengikut kemahuan.
Hutang = 40%
Hidup zaman sekarang ini mahu tidak mahu, kita terpaksa berhutang. Hampir mustahil hidup tanpa hutang. Berbalik kepada penduduk kota yang bergaji sekitar RM3000 sebulan, rasanya wajarlah sekiranya hutang 40% untuk ansuran bulanan kereta dan rumah sahaja. Sekiranya ditambah dengan hutang lain, alamatnya meningkatlah kadar tersebut.
Adakalanya kesempitan sampai ke tahap jumlah pendapatan yang perlu ditingkatkan. Bagaimana menambah pendapatan bulanan keluarga? Kini, ramai yang terperangkap dengan janji-janji manis pendapatan lumayan pelbagai jualan langsung yang menetapkan syarat untuk terlebih dahulu menebarkan modal yang besar. Ramai para penjawat awam terperangkap dengan pinjaman peribadi untuk mendapatkan modal itu hingga akhirnya ramai juga yang berniaga tak ke mana tetapi hutang bertimbun di kepala!
Oleh itu fikirkan semasak-masaknya sebelum terjun ke bidang tersebut. Sebenarnya sesiapapun mampu menjalani kehidupan yang bahagia dan tenang dalam batas kemampuan kewangan masing-masing. Kembalilah kepada keutamaan untuk kaya di akhirat sepertimana firman Allah dalam surah al Ra’d:26 bermaksud –
“Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibandingkan dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit)”
(Sumber: Solusi 32)
No comments:
Post a Comment