serenemaklong.blogspot.com
Siling mewakili satu perenam daripada ruang di kediaman namun ia jarang diberi perhatian. Lazimnya hanya bertona putih kerana dianggap selamat. Hakikatnya, rugi jika tidak mahu menambil risiko mewarnakan siling kerana anda mungkin terlepas keseronokan menyuntik unsur gaya dan drama dalam sesebuah ruang.
Siling cerah lawan gelap
Secara amnya, siling berwarna cerah daripada dinding menjadikan ruang nampak sekali ganda luas. Manakala siling gela p membuat ruang nampak sempit dan tertutup, namun ada sesetengah warna gelap yang membangkitkan suasana mesra serta selesa dipandang.
Pencahayaan
Sumber dan kekuatan cahaya perlu diteliti terlebih dahulu sebelum menetapkan warna siling. Perhatikan cahaya semula jadi yang masuk ke ruang sewaktu kita menghabiskan sebahagian besar masa di situ. Misalnya, simbahan matahari pada waktu petang di ruang beristirahat. Cahaya siang hari yang memantulkan tona merah muda atau biru langit pada siling mencipta suasana berudara. Manakala penggunaan lilin atau mentol bercahaya merah membangkitkan ragam suasana hangat.
Kemasan cat penyudah
Siling bercat tidak menyajikan kesan hebat kecuali dicat dengan kemasan satin dan warna kulit telur. Dua kemasan ini menjadilkan siling nampak berkilau. Apapun, pastikan siling berkenaan berkeadaan sempurna kerana cat jenis bekilau mampu menyerlahkan permukaan siling yang cela. Siling berwarna menambah watak ruang namun pemilihan ruang perlu tepat dan lebih sesuai seperti di ruang tamu supaya tidak jelak dipandang.
Putih klasik
Siling putih sering menjadi pilihan kerana tidak mengganggu pandangan dan lebih menonjolkan warna dinding serta perabot. Ia juga membantu mengimbangi corak dinding. Misalnya jika dinding bercat warna pekat; siling putih akan membuatkan ruang berkenaan nampak lebih lapang dan tinggi.
Bagi bilik yang kurang menerima kemasukan cahaya semula jadi, siling putih mampu mencerahkan suasana kerana keupayaan memantulkan cahaya yang diterima.
Siling putih sebenarnya memerlukan sokongan untuk berintegrasi dengan skema warna lain. Perabot kayu, permaidani, langsir atau cadar katil mampu menjadi medium menyokong keseimbangan suasana.
Warna bertentangan
Warna bertentangan di antara siling dengan dinding menyediakan gaya dramatik. Ibarat pantulan cahaya ke seluruh ruang sekali gus menyuntik watak dan ragam.Beranikan diri dengan mengecat warna seperti biru langit, pic pucat, kuning mentega, merah samar atau perang hangat, sebelum menambah selapisan lagi cat licau warna serupa. Kemasan licau menyediakan kesan lembut.
Warna sedondon
Warna siling sedondon dinding membuat suasana ruang `lemas`. Pendekatan itu kurang sesuai untuk kediaman berkeluasan terhad kerana membuat ruang nampak sempit dan terbatas. Begitupun, jika tetap memburu konsep ini, ia lebih sesuai untuk ruang tertentu seperti bilik tidur dan bilik mandi.
Bagi ruang kediaman yang luas, penggunaan warna senada dilihat membantu menyatukan ruang. Tumpuan dan pusat perhatian akan terarah kepada perabot serta perhiasan yang digunakan.
Jika ingin menggunakan warna dinding pada siling, anda disarankan supaya melembutkan sedikit tonanya. Ia dapat dilakukan dengan mencairkan sedikit cat yang hendak diguna menerusi formula 80 peratus tona putih pada cat siling dan 20 peratus sahaja tona putih untuk cat dinding.
Warna siling sedondon dinding selain akrab dipandang, juga memudahkan kerja mengecat. Anda boleh mengecat sekali gus tanpa perlu melindungi birai hias dengan pita perekat.
Titik pertemuan siling dan dinding
Binaan kumai dan bingkai kayu memudahkan kerja mengesan bahagian mana perlu diwarnakan, Namun, jika ia membabitkan dua permukaan rata, anda perlu teliti mengesan sempadan bagi memudahkan warna baru disisipkan . Justeru itu, sewaktu mengecat sentiasa pastikan garisan pertemuan siling dengan dinding dipasang pita perekat bagi mengelakkan warna yang diguna bercampuraduk.
Menyuntik warna pada siling tidak semestinya diperolehi dengan mengecat. Bagi yang menyukai unsur kayu boleh membuat pembaharuan menerusi pemasangan panel kayu dan alang. Jika mengagumi keindahan kaca berwarna boleh menyelitkan bahan kemasan tersebut di bahagian tertentu.
(Sumber Anjung Seri)
No comments:
Post a Comment