Sunday, January 15, 2017

Lega Otot Dengan Ekstrak Daun Bidara



TIMBALAN Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) Fakulti Sains dan Matematik, Prof Madya Dr Haniza Hanim Mohd Zain menunjukkan bahan semburan 'MIST3 Fitograde' dan 'MIST3 Fitograde Cool'. - Foto BERNAMA



Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini menghasilkan bahan semburan daripada ekstrak daun bidara bagi membantu melegakan masalah kejang otot daripada hasil ekstrak daun bidara.

Ia yang dikenali 'MIST3 Fitograde' dan 'MIST3 Fitograde Cool' hasil kajian tiga penyelidik UPSI, iaitu Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) Fakulti Sains dan Matematik, Prof Madya Dr Haniza Hanim Mohd Zain; Dr Husni Ibrahim dari fakulti sama dan Prof Madya Dr Nur Ikhwan Mohamad dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan.

Mereka yang turut dibantu beberapa pelajar, mengambil masa lima tahun untuk membuat penyelidikan terbabit.

Haniza Hanim berkata, mereka memilih daun bidara setelah mengambil iktibar daripada al-Quran dan hadis yang turut menyebut mengenai khasiat daun itu yang turut digunakan bagi memandikan jenazah orang Islam.

"Kami fokus bahan ini kepada jemaah haji terutama yang berumur yang sering lenguh badan untuk melakukan ibadat semasa di Tanah Suci," katanya.

Mengenai kelebihan produk itu, beliau berkata, ia 100 peratus asli berserta campuran 'peppermint' dan berfungsi membantu memanaskan otot.

Katanya, produk berkenaan telah menjalani ujian makmal dan terbukti berkesan termasuk bagi golongan yang aktif bersukan.

Bercerita lanjut, Haniza Hamin berkata, setiap 100 gram daun bidara boleh menghasilkan ekstrak sehingga tiga liter.

"Meskipun produk ini belum dipasarkan, kita sudah mempunyai permintaan. Kita akan bekerjasama dengan sebuah syarikat bagi pengilangan dan pemasarannya. Insya-Allah kita akan cuba menembusi pasaran farmasi dan sedang memohon kerjasama pihak seperti Kementerian Belia dan Sukan selain Tabung Haji," katanya. - BERNAMA



No comments:

Post a Comment