Friday, January 13, 2017

Allah Menjaga Seluruh HambaNya

Perkongsian yang memberi keinsafan



Kematian, membuatkan saya teringat pengalaman ketika Bengkel Khusyuk Solat beberapa tahun lepas. Ada seorang wanita (pangkat kakak ikut umur) bercerita pada saya kebimbangan beliau tentang kematian.Dia mempunyai dua orang anak dan seorangnya adalah OKU. Kini dia dan suami yang menjaga anak itu. Dia bimbang sekiranya dia dan suami meninggal, siapa yang akan menjaga anak OKU ini.

***
Saya bercerita kepada wanita ini agar dia boleh kaitkan dengan keadaan dia.

Saya kata, saya mempunyai 4 orang anak dan masih kecil semuanya. Sekiranya saya meninggal, mereka akan hilang seorang ayah yang mana mereka memerlukannya di ketika umur mereka masih kecil sekarang ini. Saya jelaskan bahawa ketika Allah menetapkan sesuatu, Allah juga sudah mengaturkan segala-galanya. Saya menyakini bahawa sekiranya saya dijemput pulang oleh Allah, anak-anak saya tetap berada di bawah peliharaan Allah.

Kita juga harus sedar bahawa walaupun kita masih lagi hidup sekarang ini, bukanlah kita yang menjaga dan memelihara anak-anak kita ini secara hakikatnya.Allah jua yang memberikan rezeki anak-anak kita melalui kita. Allah juga yang memberikan kesihatan kepada anak-anak kita. Allah juga yang melindungi mereka. Allah juga yang menurunkan kasih sayangNya kepada anak-anak kita melalui kasih sayang seorang ayah dan ibu buat anak-anak kita.

Kita adalah sekadar wakil Allah di dalam melaksanakan kehendakNya sahaja. Kita sekadar menjadi pengantara. Sekadar bergerak mengikut kehendakNya.
Sama ada kita menjalankan tanggungjawab atau tidak di dalam menjadi wakil Allah yang terbaik di dalam memelihara anak-anak kita, inilah yang perlu kita bimbangkan.

***
Lalu ketika kita ditetapkan untuk kembali kepada Allah secara abadi, kita serahkan semuanya kepada Allah. Lagi pun kita telah meninggal. Tidak tahu langsung apa terjadi kepada anak-anak kita ketika itu. Kita sedang sibuk berurusan dengan Allah ketika di alam barzakh.

Sedang kita hidup ini, kita cuba sedaya upaya berikan apa yang mereka perlukan. Sebagai contoh wanita tadi, jika dia ada anak OKU, dia perlu tahu apakah yang anak dia perlukan samada tempat penjagaan dan sebagainya.

Jika saya, saya tidak bertungkus lumus mengumpul harta yang banyak untuk anak-anak saya. Saya sekadar sediakan apa yang diperlukan agar anak-anak saya dapat meneruskan pendidikan mereka di bawah pengurusan waris yang tinggal.

Dengan pendidikan dan pengalaman, inshaAllah mereka mampu menjadi hamba Allah yang berjaya dunia dan akhirat. Saya sentiasa berdoa agar anak-anak saya sentiasa di bawah lindungan Allah samada saya masih hidup apatah lagi ketika saya tiada.

Kematian itu pasti. Tambahan umur pula mencecah 40 tahun ini.

Kita sediakan apa yang perlu untuk kita sebagai bekalan dunia yang abadi dan keperluan untuk mereka yang tinggal sepertimana yang dilakukan oleh Rasululullah s.a.w.Rasulullah dan sahabat baginda tidak meninggalkan harta benda kepada waris baginda sedangkan Rasulullah dan sahabat baginda itu bukan sekadar sangat kaya malah tersangat-sangat kaya. Tetapi baginda telah tinggalkan cara hidup yang terbaik yakni Islam untuk kita yang menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.

Wallahuaklam.

[Fuad Latip]


Hanya Rabb yang lebih menyayangi kita. Hanya Rabb yang lebih memahami kesulitan dan keluh kesah kita. Hanya Rabb yang mengangkat musibah dan penderitaan kita.

Manusia tidak akan mampu memahami kita dan mengangkat derita kita. Paling dibimbangi hal kesusahan kita dijaja ke sini sana, sehingga jatuh air muka kita.

Adukanlah segala-galanya kepada Dia Yang Maha Mendengar. Penyelesaian ada pada-Nya.




No comments:

Post a Comment