Thursday, February 25, 2016

Tunai Nazar


Dalam Islam ada ibadah dinamakan nazar. Nazar ditakrifkan sebagai melakukan ibadah yang tidak diwajibkan oleh syarak.

Orang yang bernazar hendak melakukan ketaatan kepada Allah, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, hendaklah menunaikan nazar tersebut. Contoh, hendak bersolat 5 waktu pda awal waktu, atau solat 5 waktu secara berjemaah di masjid, bersedekah dan sebagainya.

Andai seseorang bernazar hendak botakkan kepala untuk sesuatu yang bukan ibadah, hukumnya adalah harus. Dia boleh pilih mahu melakukannya atau tidak.Namun dalam mazhab Syafie, dia kena bayar kaffarah.

Menunaikan nazar yang berunsur maksiat kepada Allah adalah haram hukumnya, contoh “kalau menang nombor ekor hendak sedekah pada masjid”. Orang sebegini sengaja bermain-main dengan agama sama ada kerana kejahilan atau hendak mencabar Allah.Pada akhir zaman, perkara ini banyak berlaku.

Bagi orang yang bernazar dan dia tidak pula menunaikan nazarnya, maka dia kena kafarah (denda). Hal berkaitan kaffarah ada dinyatakan dengan jelas dalam Surah Al Maidah ayat 89. Dia hendaklah melakukan salah satu daripada kaffarah berikut:
1. Memberi makan makanan yang siap dimasak kepada 10 orang miskin sehingga kenyang.
2. Memberi mereka pakaian yang elok lagi sempurna.
3. Memerdekakan seorang hamba. Bagaimanapun, perkara ini tidak lagi relevan di zaman sekarang.
Orang yang tidak mampu melakukan ketiga-tiga kaffarah itu maka hendaklah dia berpuasa selama 3 hari.

Ada orang yang telah bernazar. Setelah mendapat apa yang diperolehi dia menangguhkan penunaian nazar tersebut sehingga dia meninggal dunia. Jika warisnya tahu mengenai nazar itu, maka hendaklah dia menunaikan bagi pihak si mati kerana ia dianggap sebagai hutang kepada Allah. Begitu juga halnya dengan orang yang bernazar tetapi gagal menunaikan nazar itu akibat kesihatan kurang mengizinkan. Maka hendaklah dia memberitahu nazarnya itu kepada warisnya untuk ditunaikan.

Bagi orang yang bernazar hendak berpuasa beberapa hari, maka bilangan minimum untuk berpuasa beberapa hari itu ialah 3 hari.

Walaupun nazar boleh dilakukan namun ia tidak digalakkan. Jika kita berniat hendak lakukan apa-apa kebajikan, maka lakukanlah sahaja tanpa apa-apa syarat. Lakukan ia kerana kita berTuhankan Allah yang telah memberi kita nikmat yang tidak mampu dihitung. Jangan ditunggu waktu sakit, kemudian bernazar hendak buat ibadah itu ini. Sebaliknya, buatlah nazar yang bakal meningkatkan ibadah kepada Allah, bukan kerana apa-apa syarat.

[Penjelasan oleh Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang dalam TANYALAH USTAZ di TV9 pada 26 Februari 2016]

No comments:

Post a Comment