Tuesday, February 16, 2016

Fitnah Sengketa Sesama Sunni


Terdapat tangan-tangan ghaib yang mengatur watak yang dimainkan individu tertentu untuk menimbulkan persengketaan mazhab sesama Sunni di Malaysia, mutakhir ini. Walaupun perselisihan pendapat antara kaum muda dan kaum tua sudah lama bertapak di nusantara, namun perkembangan mutakhir menampakkan usaha terancang untuk membakar api fitnah sesama Sunni. Mungkin ia satu usaha ganti selepas suara sekular liberal totok semakin dipandang sepi oleh majoriti umat Islam di Malaysia.

Jalan terbaik menangani isu ini ialah muzakarah tertutup di kalangan ulama untuk mendekatkan jurang perbezaan pendapat dalam perkara cabang, di samping menjadi medan untuk menyelaraskan taujihat (nasihat) ulama kepada orang awam yang cetek ilmu agama yang sering menjadi mangsa golongan berkepentingan.

Pendekatan populis yang suka melontarkan pandangan agama secara separuh masak semestinya ditolak kerana menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat. Jikapun mahu mengajar pelbagai pendapat ulama selain Syafie dan selain yang terkandung dalam fatwa negeri-negeri, maka ajarkan juga adab-adab khilaf ulama-ulama tersohor itu. Jangan seronok mengajar sesuatu yang kita rasa kitalah pelopornya manakala ulama lain tidak pandai dan tidak mengerti, sedangkan pada hakikatnya kita sedang mengelirukan masyarakat awam.

Bagi orang awam pula, jalan terbaik bagi mengelakkan api fitnah persengketaan mazhab ini ialah berdiam diri daripada memberi sebarang komen yang melampau. Perbezaan pendapat yang berlaku hanya perkara cabang dan janganlah kita melayan sebarang tuduhan melulu, lebih-lebih lagi yang dibuat dengan penuh emosi kebencian. Banyakkan memberi salam sesama Islam dan Sunni, untuk merapatkan silaturahim. Akidah kita satu, kita umat yang satu. Jangan biarkan api fitnah permusuhan syaitan menyelinap masuk ke dalam hati kita.

Kesemua perkara ini tiada kaitan dengan Syiah, kerana Syiah satu agama lain, bukan Islam. Jika pun ada kaitan, ia hanyalah musuh dalam selimut yang mahukan Sunni (Ahlu Sunnah Wal Jamaah) berbalah dan berbunuhan sesama sendiri. Sejarah membuktikan sikap kemunafikan mereka ini.

Semoga Allah menyelamatkan kita di Malaysia ini daripada menjadi mangsa fitnah persengketaan sesama Sunni. Amin Ya Rabbal Alamin.

[Sumber: Isma.Org.My]

No comments:

Post a Comment