Tuesday, February 16, 2016

Penerangan Mengenai Wahabi



USTAZ MUHAMMAD BIN ABDULLAH (Ustaz Amin)berbicara tentang wahabi. Secara ringkas:

1. Manhaj Wahabi adalah satu manhaj yang menggunakan al-Quran dan Hadis semata-mata. 2. Doktrin ini nampaknya bagus tetapi ia akan mengetepikan pandangan ulama-ulama muktabar. Sebab itu akhirnya, doktrin ini akan menolak mazhab. 3. Menolak mazhab bagi orang betul-betul berilmu yang faham ayat hukum dan hadis hukum, tahu menggunakannya akan menyebabkan seseorang itu terselamat dari tafsiran yang salah. 4. Jika seseorang itu orang awam, yang baru berjinak-jinak dengan agama, akan mendedahkannya tersalah di dalam tafsiran sesuatu hukum. Kadang-kala, baca ayat hukum pun dari buku-buku terjemahan. 5. Jika dia menolak tafsiran hukum dari Imam-Imam besar seperti Imam al-Syafie, dan dia pula berminat dengan tafsiran hukum ustaz barunya ini, akhirnya, dia akan kurang berminat dengan pandangan ulama muktabar, dan akan menggunakan pandangan ustaz itu sendiri. 6. Ia akan mewujudkan mazhab baru apabila, ustaz baru itu sebagai pegangan mazhabnya. Doktrin ini akan menolak tafsiran dari ulama muktabar dan akan memakai tafsiran sendiri atau tafsiran ustaz itu sendiri di dalam sesuatu hukum. 7. Kenapa tok-tok guru kita sangat menentang doktrin ini. 8. Ini kerana, jika manhaj ini dibuat di dalam membahaskan ilmu fekah, hukum hakam, tidak mengapa. Tetapi, apabila manhaj ini dipakai untuk membahaskan soal akidah, ia sangat merbahaya. 9. Ia akan mendedahkan orang awam mentafsir mengenai ketuhanan dengan sendiri. 10. Kadangkala, ia menjadikan pentafsir itu menjisimkan Allah.


Untuk mengetahui sejarah dan sebagainya, pembaca boleh menelusuri blog-blog yang ada. Saya hanya mahu membahaskan satu sudut yang jarang dibahaskan iaitu manhaj (cara) wahabi di dalam mengeluarkan hukum. Manhaj semata-mata memakai al-Quran dan hadis ini yang didoktrinkan. Tetapi, tidak semua orang yang menggunakan kaedah ini adalah orang wahabi. Ada beberapa golongan orang di dalam hal ini.


1. Peminat manhaj (cara) wahabi. Dia bukan wahabi, tetapi peminat manhaj (cara). Biasanya, ada tiga jenis golongan.

i. Golongan pertama ialah seseroang yang apabila dia belajar agama sampai satu tahap yang tinggi dan sudah faham perjalanan bagaimana sesuatu hukum itu dikeluarkan maka dia akan berminat dengan manhaj (cara) ini. Kebiasaannya, orang yang menjadi peminat manhaj wahabi ialah orang yang bukan dari aliran syariah (hukum hakam). Biasanya dari aliran-aliran lain (Bahasa Arab/ Usuluddin). Tetapi saya tidak menafikan, ada juga sesetengah golongan syariah yang meminati manhaj ini, tetapi bilangannya tidak seramai dari bidang lainnya.

ii. Orang awam yang baru ingin memahami Islam dan berguru dengan cara ini. Ia akan menjadi orang ikut-ikut juga. Orang macam ini, di mana pun, sama. Dia akan mengikut guru yang mengajarnya. Kebetulan, jika guru yang mengajarnya itu berhemah, maka dia akan menjadi orang berhemah. Jika guru itu jenis yang suka memperlecehkan orang lain, maka dia pasti akan terikut dengan cara ini.

iii. golongan ketiga adalah golonga yang kecewa dengan ustaz-ustaz lama ini, yang membawa pendekatan kudus, tidak boleh ditegur, suka marah-marah dan sebagainya. Kita tidak nafikan terdapat kelemahan ustaz-ustaz lama yang kadang-kala pandangannya itu ada kepentingan dan sebagainya.

Apabila golongan ketiga ini bertemu dengan ustaz yang boleh membidas, dia tidak jumpa pula ustaz yang betul-betul membimbingnya, maka dia akan menjadi peminat manhaj ini. Biasanya golongan ini terdiri dari orang terpelajar yang bukan dari aliran agama. Ustaz lama pula tidak membuka ruang untuk bertanya, jadi, perasaan ingin tahu itu meluap-luap dan apabila bertemu dengan peminat manhaj wahabi ini, dia akan berminat. Golongan pertama boleh terselamat dari kesesatan kerana ia faham dan telah tahu banyak hukum hakam ini. Tetapi golongan kedua dan ketiga, boleh terdedah dengan kesalahan di dalam mentafsir al-Quran dan Hadis. Ini kerana, kaedah yang dibawa ialah, rujuk pada al-Quran dan hadis semata-mata.

Golongan kedua dan ketiga, jika tidak belajar secara sistematik, akan menjadi orang yang tidak berpegang dengan mazhab muktabar, tetapi nanti akan menjadi orang yang berpegang dengan mazhab ustaz yang menjadi rujukannya itu. Ustaz itu yang akan menjadi rujukan hukum baginya.

2. Pemegang Wahabi. Kenapa ulama-ulama kita ada sampai ada yang berfatwa mengatakan wahabi bukan dari ahli sunnah wal Jemaah. Ia terjadi apabila doktrin tidak berminat dengan tafsiran ulama muktabar dibawa kepada bab akidah. Bagi manhaj Wahabi yang hanya menggunakan al-Quran dah hadis, apabila membahaskan ayat-ayat mengenai zat Allah, ia akan menjadikan seseorang itu sampai tahap menjisimkan Allah. Mengatakan Allah itu ada tangan seperti tangan kita, Allah itu duduk seperti duduk kita.

Ia yang membezakannya dengan akidah Ahli Sunnah. Ahli Sunnah tidak menjisimkan Allah. Kerana di dalam Ahli Sunnah, ada pengajian yang menekankan bahawa Allah tidak sama dengan makhluk. **(bagi kita yang kurang mahir dalam bahasa Arab, boleh rujuk buku I’tikad Ahlisunnah Wal-Jamaah oleh K.H Sirajuddin Abbas) Di dalam bab akidah, ahli Sunnah telah menggariskan beberapa dasar. Antaranya ialah Allah itu tidak akan sama dengan makhluk (Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan- pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat (surah al-Syura ayat 11).

Jadi, peperangan yang sebenar antara wahabi dengan ahli sunnah bukan sebab qunut atau talkin. Itu hanya bab hukum hakam. Ia apabila sudah mula membahaskan bab akidah.

Kenapa Kategori Pertama (Peminat Wahabi) Juga Ditentang Di Malaysia? Kerana, rakyat di Malaysia tidak ramai yang mengetahui apa itu wahabi. Jadi, jika manhaj wahabi disebarkan, ditakuti, bermula dengan hukum hakam, ia akan mula membahaskan bab akidah. Ini kerana, peminat wahabi akan mendoktrinkan agar kita berpegang dengan al-Quran dan hadis semata-mata. Tidak perlu memakai pandangan ulama dalam mazhab dan sebagainya. Persoalannya, jika seorang itu tidak faham apa makna hadis itu, tafsiran siapa yang akan dipakai? Sudah tentu dia akan merujuk kepada tafisiran sendiri atau ustaznya itu sahaja. Maka, oleh kerana tafsiran ustaz itu sendiri yang dipakai, ia akan mendedahkan kepada bahaya. Jika ustaz itu memang ilmunya tinggi, tidak menjadi masalah, tetapi, jika ustaz yang mendoktrinkan manhaj (cara) wahabi ini, ilmunya tidak berapa tinggi, ia akan mendedahkan kepadanya kesilapan tafsiran hukum yang kemudian akan diikuti oleh muridnya.


Apa jalan keluarnya ? Belajar agama perlu berguru dengan manhaj (cara) yang betul. Kita belajar agama bukan untuk tunjuk kita alim. Kita belajar kerana hendak menghampirkan diri pada Allah. Bergurulah. Jangan ketepikan tafsiran ulama muktabar di dalam sesuatu hukum. Belajar dengan manhaj (cara) ahli Sunnah iaitu, hukum itu dikeluarkan dengan melihat kepada al-Quran, hadis, Ijmak ulama dan kias. Selepas itu, kaedah lain seperti masalih al-Mursalah (melihat kebaikan), sad al-Zara’ik (menghalang keburukan) dan sebagainya. Jika semata-mata al-Quran dan hadis, ditakuti terdedah dengan kesilapan di dalam mentafsir sesebuah hukum.


Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa :"Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (surah an-Nisa ayat 59).

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa:- Dan tidak ada selain ulama’ yang tahu bagaimana untuk balik pada al-Kitab dan al-Sunnah, maka berdasarkan perkara ini, bertanya sesuatu persoalan pada ulama’ itu hukumnya wajib.

Saya mengharapkan, semua orang di Malaysia ini akan semakin matang di dalam pengajian agama. Tahu al-Quran dan hadis dengan manhaj (cara) yang betul. Bagi para ustaz, ajar orang ramai juga merujuk kepada kitab-kitab. Buka orang awam untuk perbahasan ilmu. Bagi ustaz yang gemar pada perbincangan, jaga adab di dalam berbincang dan adab di dalam berselisah pendapat. Jangan pula kita mengatakan, kita sahaja betul dan orang lain salah. Selagi mana ada dalil dan hujjah kita perlu berlapang dada dengan perselisihan ini. Jangan sampai perselisihan dengan emosi menyebabkan masyarakat lagi huru hara. Bagi masyarakat, perbalahan antara ulama di Malaysia sekarang ini adalah ibarat perbalahan ibu bapa. Jika kita tidak boleh mengikuti dengan baik, bersabar dan tenang. Ketika tengah panas, semua akan saling salah menyalahkan. Doakan yang terbaik untuk semua. Yang penting, akhirnya, biar semua kembali kepada Allah dengan mencari keredhaannya. Semoga Allah terus memelihara kita semua dari perkara yang mengundang kemurkaannya, amin… ‘Sekilas Itu Realiti, Realiti Itu Kehidupan” Al-Fakir Ila Rabbihi Muhamad bin Abdullah.

No comments:

Post a Comment