Monday, March 9, 2015

Taqwa Ayub Cemburu Iblis

Para Malaikat memuji akan sifat Nabi Ayub a.s. yang selalu suka beribadah dan mengingati Allah S.W.T. Hidupnya penuh dengan rasa kesyukuran di atas nikmat Allah.Iblis telah mendengar pujian para malaikat dan hatinya menjadi panas dan bersumpah hendak menggoda setiap anak cucu Adam. Dia tidak rela melihat manusia yang berada di permukaan bumi ini beriman, beribadah dan beramal soleh. Iblis mengakui bahawa Nabi Ayub a.s. sangat beriman meskipun diberikan harta yang banyak. Siang malam bibirnya tidak lepas dari mengingati Allah bersujud dan bersyukur kepada Allah dan memiliki sifat kasih sayang yang tinggi terhadap sesama makhluk.
Setiap kali Iblis ingin menggoda Nabi Ayub a.s. selalu dia mengalami kegagalan. Kemudian Iblis pun mengumpul sebanyak-banyak pengikut dan menghancurkan harta benda Nabi Ayub a.s. Dalam waktu yang singkat Nabi Ayub menjadi miskin. Yang ada hanyalah segumpal hati yang penuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Iblis datang menemui Nabi Ayub dengan menyamar sebagai orang tua yang bijaksana, lalu berkata:"Sesungguhnya musibah yang menimpamu ini sangat mengerikan. Dalam waktu yang singkat segala hartamu musnah. Sementara musuh-musuhmu berkata bahawa kamu tidak ikhlas ketika beribadah sehingga mendapat musibah. Mungkin juga kerana Tuhan tidak menerima ibadahmu kerana engkau melakukan dengan riyak dan ingin dipuji. Aku juga merasa berdukacita.Apa yang engkau miliki diambil kembali olih Allah. Sungguh malang takdirmu."Demikianlah Iblis dalam manis bicara. Namun Nabi Ayub a.s. sedikitpun tidak termakan dengan kata-kata Iblis bahkan beliau bersujud lama kepada Allah dan semakin bertambah banyak ibadahnya meskipun dilanda musibah yang sangat berat.Iblis pun kembali dengan hampa kerana Nabi Ayub tidak tergoyah dengan segala yang di sampaikannya.
Begitulah sifat dan watak makhluk yang dengki dan cemburu terhadap dengan limpahan kekayaan seseorang yang beriman.Hendaknya kita semua mempunyai keimanan saperti Nabi Ayub ketika di timpa musibah . Tidak sedikitpun terpengaruh dengan kata-kata manis seseorang. Percaya hanya kepada Allah dan bukan yang lain. Semua kehendak Allah adalah rancangan yang baik pada akhirnya.

No comments:

Post a Comment