Sunday, March 15, 2015

Hubungan Manusia Derhaka Dan Syaitan

Hubungan antara manusia derhaka dengan syaitan berbentuk 2 hala. Masing-masing mendapat "manafaat negatif" yang membawa kepada kedukaan pada kemudian hari. Firman Allah ----- وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ قَدِ اسْتَكْثَرْتُمْ مِنَ الْإِنْسِ ۖ وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُمْ مِنَ الْإِنْسِ رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا ۚ قَالَ النَّارُ مَثْوَاكُمْ خَالِدِينَ فِيهَا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ ۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ -----Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "WAHAI TUHAN KAMI, SEBAHAGIAN KAMI (MANUSIA) TELAH BERSENANG-SENANG (MENDAPAT KEMUDAHAN) DENGAN SEBAHAGIAN YANG LAIN (SYAITAN-SYAITAN), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui (al-An'am [6:128]).
Syaitan yang berada dalam minda manusia selalu menghasut manusia agar derhaka kepada Allah. Derhaka mereka pula menjadi sedap berselera kerana "perisa" yang direncahkan syaitan. Pegang isteri sudah hilang sedapnya berbanding memegang wanita yang haram. Kenapa? Kerana syaitan sudah memainkan saraf di otak agar RASA SEDAP melampau naik pada yang haram. Akibat kesedapan itu, manusia derhaka sukar meninggalkan larangan Allah. Inilah "manafaat negatif" yang dimaksudkan ayat di atas.
Walau bagaimanapun, kelak di akhirat manusia derhaka akan menyumpah seranah syaitan kerana telah memberikan mereka manafaat negatif itu. Ia dijelaskan Allah ----- وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الْأَمْرُ إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ ۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي ۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ ۖ مَا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنْتُمْ بِمُصْرِخِيَّ ۖ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِنْ قَبْلُ ۗ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ -----Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu (hisab makhluk dan penderhaka sudah dihumban ke neraka): "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya". Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya (Ibrahim [14:22]).
Manfaat negatif bagi syaitan pula mereka dapat memenuhi janji "Tuhan mereka iaitu Iblis"agar menyesatkan seramai mungkin anak Adam. Itu sumpah keramat Iblis selepas diwartakan sesat oleh Allah ----- قَالَ أَرَأَيْتَكَ هَٰذَا الَّذِي كَرَّمْتَ عَلَيَّ لَئِنْ أَخَّرْتَنِ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ لَأَحْتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُ إِلَّا قَلِيلًا -----Ia berkata lagi: "Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)" (al-Isra'[17:62]). Setakat yang disebut al-Quran, memang sudah sangat ramai anak Adam terjerumus dalam perangkap mereka ----- وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنْكُمْ جِبِلًّا كَثِيرًا أَفَلَمْ تَكُونُوا تَعْقِلُونَ -----"DAN SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU TELAH MENYESATKAN GOLONGAN YANG RAMAI DI ANTARA KAMU; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? (Yasin [36:62]).
Jom kita bersiap siaga sepanjang masa menghadapi syaitan kerana mereka tidak kenal henti atau bersara. Persaraan mereka hanya berlaku setelah anak Adam "didaftarkan" sebagai ahli neraka. Sungguh malang manusia yang masih terjerumus ke neraka bersama mereka walaupun sudah dijelaskan Allah segala macam jerat mereka dalam al-Quran. "Ya Allah, kami mohon perlindungan dari menjadi sebab kepada syaitan untuk mendapat manfaat KPI mereka."

No comments:

Post a Comment