Saturday, March 7, 2015

Iktibar Dari Kehidupan Dan Kematian

Cara kita hidup di dunia adalah gambaran kehidupan kita di akhirat. Jika selama hidup di dunia fokus kita adalah Allah dan Rasul-Nya, maka dengan izin-Nya, apabila beralih kepada kehidupan akhirat, perjalanan menuju Allah jadi mudah dan lapang.
Dakwah adalah membina hubungan dengan manusia. Tok Guru Nik Aziz membina empayar persahabatan merentasi politik, agama dan bangsa. Di hari kematiannya, orang yang berbeza fahaman dengannya datang dari jauh, tanpa paksaan, tanpa bayaran. Tetapi kerana hormat dan sayang padanya. Bila hak Allah dijaga, Allah jaga pula aib kita. Allah angkat darjat kita. Tiada siapa yang menjentik hati puluhan ribu yang datang menziarahi jenazahnya, menyebut-nyebut kebaikannya, mengalirkan air mata saat diberitakan kematiannya.
Tok Guru Nik Aziz sentiasa menjaga solat jemaahnya. Dalam siri ceramahnya, semuanya dikaitkan dengan tauhid, ada Allah S.W.T. Di hari akhirnya, Allah pula mengangkat martabatnya. Anak-anak adalah aset akhirat. Tok Guru Nik Aziz meninggalkan aset akhiratnya yang ramai. Sekolah dan surau tempat dia mendidik anak-anak tahfiz di tepi rumahnya adalah saham akhiratnya yang luas.
Kesakitan adalah pengampunan dosa bagi seorang mukmin. Penyakit kanser yang dideritai Tok Guru Nik Aziz, in sya Allah itulah yang memadamkan kesalahan dan dosa-dosanya. Kelapangan bagi seorang mukmin adalah selepas kematian. Sesungguhnya kerehatan bagi seorang mukmin ialah kuburnya. Kerehatan bagi seorang insan yang mengabadikan seluruh usianya selama 84 tahun di jalan fisabilillah.
Semoga kita meneladani akhlak dan cara hidupnya yang sangat sederhana. Cara hidup yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

No comments:

Post a Comment